ASB 4.25 SEN, ASN SEBANYAK 2.02 SEN SEUNIT
KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah 4.25 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Pengumuman berkenaan dibuat secara maya oleh Pengerusi PNB, Dr Zeti Aziz berkata ia merangkumi pengagihan pendapatan 3.50 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit membabitkan pembayaran RM7.65 bilion kepada 10.2 juta pelabur, hari ini.
Selain itu Dr Zeti Aziz turut mengumumkan pembayaran khas ihsan 0.75 sen untuk 30,000 unit pertama sempena ulang tahun ASB ke-30 tahun, agihan pembayaran dividen tahun ini adalah yang terendah sejak ASB diperkenalkan pada 1990.
Beliau melaporkan, di sebalik pasaran kewangan yang tidak stabil, ASB terus memberi pengagihan kompetitif tahun ini dengan aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM320.5 bilion.
Sementara itu, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan dana harga berubah pertamanya, Amanah Saham Nasional (ASN) sebanyak 2.02 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu berkata, ia akan membabitkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM36.6 juta.
Pengagihan pendapatan ini memberikan hasil dividen 3.18 peratus berdasarkan jangkaan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 31 Disember 2020, pembayaran ini akan memberi manfaat kepada 1.21 juta pemegang unit dengan jumlah pelaburan melebihi 1.8 bilion unit.
Setakat 30 November 2020, ASN mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM44.3 juta untuk 11 bulan pertama tahun kewangannya.
Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2021, berdasarkan NAB seunit pada 31 Disember 2020.
Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB seluruh negara ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 Disember 2020 hingga 3 Januari 2021 untuk memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.
Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui portal www.myasnb.com.my atau aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 4 Januari 2021.