AS, UAE MUKTAMAD PEMBELIAN F-35 DISEMBER INI
Berita Global
AS, UAE MUKTAMAD PEMBELIAN F-35 DISEMBER INI
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka memuktamadkan perjanjian pembelian pesawat pejuang F-35, hujung tahun ini.
Berdasarkan laporan Reuters, perbincangan mengenai perjanjian itu sudah dijalankan dan surat perjanjian mengenai keputusan berkenaan dijangka dikeluarkan kerajaan UAE pada sambutan Hari Kebangsaan negara Timur Tengah itu pada 2 Disember ini.
Bagaimana pun, spesifikasi pesawat pejuang F-35 bakal dijual kepada UAE dijangka tidak sama dengan jet pejuang model sama yang dijual kepada Israel.
Washington sedang menjalankan penyelidikan bagi memastikan pesawat keluaran Lockheed Martin Corp lebih mudah dikesan sistem radar Israel.
Namun, persetujuan penjualan itu dilihat bakal menyukarkan hubungan antara AS, negara Timur Tengah dan Israel.
Amerika Syarikat juga belum membuat keputusan sama ada membekalkan sistem radar lebih canggih kepada Israel atau mengubahsuai pesawat F-35 yang bakal dijual kepada UAE bagi memenuhi permintaan negara sekutu mereka itu.
Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz dijangka mengadakan perjumpaan bersama rakan sejawatnya, Mark Esper hujung minggu ini.
Ketua Bahagian Pembelian Senjata PENTAGON, Ellen Lord pada Ogos memaklumkan bahawa sebarang keputusan mengenai perjanjian penjualan F-35 antara Amerika Syarikat dan UAE akan diselesaikan dalam masa enam bulan.
Difahamkan, kehebatan dan kecanggihan dimiliki F-35 menyaksikan pesawat itu dihalang daripada dijual kepada negara-negara Arab, berikutan bantahan Israel.
Setakat ini, Israel sudah memiliki 24 pesawat keluaran Lockheed Martin Corp itu dan Poland turut membeli 32 pesawat pejuang terbabit yang bakal diterima menjelang tahun 2024.