AS SIAP SIAGA AGIH VAKSIN COVID-19
WASHINGTON: Trak dan pesawat kargo siap siaga mengagihkan jutaan dos vaksin COVID-19 ke seluruh Amerika Syarikat (AS), menerusi Operasi Warp Speed.
Jeneral tentera AS, Gus Perna yang bertanggungjawab menguruskan logistik kerajaan bagi operasi itu, sudah mengerahkan anggota dan pakar kesihatannya sejak seminggu lalu sebagai persediaan sebaik vaksin itu diluluskan.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dijangka beri kebenaran penggunaan kecemasan vaksin yang dibangunkan syarikat Pfizer-BioNTech dan Moderna, antara Khamis ini hingga 17 Disember ini.
BH Online yang memetik laporan AFP memaklumkan, pengagihan fasa pertama membabitkan kira-kira 6.4 juta dos vaksin Pfizer dalam tempoh 24 jam ke seluruh hospital dan tempat lain yang sudah membuat tempahan awal.
Anggota tentera itu tidak mengagihkan sendirian, berikutan kerajaan Persekutuan sudah melantik syarikat swasta bagi membantu mengendalikan operasi berkenaan.
Vaksin Pfizer itu dihasilkan di kilang miliknya yang terletak di Kalamazoo, Michigan.
Enam trak tentera akan digunakan setiap hari dengan setiap satunya membawa 1,000 botol vaksin lengkap dengan ais kering bagi mengekalkan suhu yang diperlukan sekitar negatif 70 darjah selsius.
Trak terbabit akan menuju ke lapangan terbang di mana syarikat penghantaran FedEx, UPS dan kapal kargo lain akan membawa muatan itu ke seluruh negeri di AS dengan Pfizer menjangkakan kira-kira 20 pesawat akan melakukan penghantaran setiap hari.
Moderna pula menghantar kira-kira 50 liter vaksinnya yang dibangunkan di New Hampshire dengan rakan kongsinya, Catalent, untuk proses pengisian dalam botol di Bloomington, Indiana.
Senarai penghantaran vaksin COVID-19 ke hospital, klinik, gudang untuk farmasi rakan kongsi syarikat itu dan klinik individu sudah dibuat oleh puluhan entiti negeri dan tempatan yang kemudiannya diserahkan ke ibu pejabat Operasi Warp Speed.
Justeru, Perna bertanggungjawab mengagihkan secepat mungkin dan memastikan penduduk mendapat dos pertama dengan segera selain dos kedua tersedia pada minggu ketiga (Pfizer) atau empat minggu kemudian (Moderna).
Penasihat Ketua Saintifik Operasi Warp Speed, Moncef Slaoui berkata kepada CNN, daripada aspek pengilangan, ia adalah rumit dan sukar daripada apa yang dibincangkan.
Ini berikutan pada minggu lalu, pegawai meramalkan 100 juta orang dijangka akan diberi vaksin menjelang hujung Februari ini, namun Slaoui menunda kepada pertengahan atau penghujung Mac.
“Masih tiada perincian yang kami lihat, tetapi bagaimana vaksin itu dapat diberikan pada pesakit,” kata Presiden AS dipilih, Joe Biden.
Apa yang penting bagaimana ahli farmasi, jururawat dan pegawai teknikal lain untuk menguruskan penghantaran dan membuat suntikan kedua, ketiga dan hingga keenam pada tahun hadapan.