ARAB SAUDI SUDAH SEDIA
Berita Global
ARAB SAUDI SUDAH SEDIA
RIYADH: Kerajaan Arab Saudi sudah membuat semua persediaan di masjid dan pelbagai kemudahan di miqat, susulan keputusan membenarkan semula ibadat umrah secara berperingkat, Ahad ini.
Menteri Hal Ehwal, Panggilan dan Bimbingan Islam, Sheikh Abdullatif Al-Sheikh, ketika mengumumkan perkembangan itu, berkata persediaan itu dibuat sejajar dengan protokol kesihatan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Sejak arahan untuk membenarkan semula ibadat umrah, kementerian sudah melaksanakan pelbagai persiapan bagi membolehkan jemaah menunaikan ibadat dengan mudah, selesa dan selamat, seiring kualiti standard tertinggi.
“Selain melantik syarikat Saudi yang mempunyai kepakaran dalam melaksanakan kerja pembersihan dan pensterilan, kementerian menggerakkan semua sumber untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.
“Beberapa orang pendakwah juga ditugaskan untuk memberikan kesedaran, selain pasukan pemantau bagi meneliti aspek penyelenggaraan dan operasi berkaitan jemaah umrah.
“Kita juga menilai semua aspek persediaan kemudahan bagi menerima jemaah umrah, secara ujian maya semalam,” katanya.
Sheikh Abdullatif berkata, lebih 20,000 meter persegi karpet dan sejadah yang ditempatkan di masjid serta mikat sudah disteril, malah proses sedemikian akan terus dijalankan syarikat kontraktor berkaitan dari semasa ke semasa.
Bagi melancarkan operasi, beliau berkata kementerian menugaskan 769 pegawai dan pekerja untuk berada di masjid bagi menjawab sebarang pertanyaan dalam kalangan jemaah umrah kelak.
“Selain perihal agama, pegawai dan petugas ini akan memberi penerangan mengenai langkah berjaga-jaga dan protokol pencegahan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19.
“Pelekat untuk memastikan penjarakan fizikal dua meter sudah ditampal dan kita menyediakan al-Quran digital berbanding naskah biasa, selain meletakkan kamera suhu badan di setiap pintu masuk,” katanya.
Sumber: AGENSI