APMM RAMPAS DADAH SELUDUP
APMM RAMPAS DADAH SELUDUP
BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup masuk dadah bernilai RM440,000 di perairan Sungai Sarang Buaya, dekat sini, semalam.
GAMBAR HIASAN
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohamad Othman, berkata rampasan dilakukan ketika bot ronda melaksanakan rondaan Op Jaksa di sepanjang perairan Batu Pahat hingga Muar, jam 2 pagi.
“Ketika rondaan, kami mengesan objek yang mencurigakan pada boya Permatang Kuala, kira-kira 5 batu nautika selatan Sungai Buaya.
GAMBAR IHSAN APMM
“Apabila dihampiri, kami dapati satu tong minyak terapung berisi bungkusan yang dibaluti plastik berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan seperti yang dilapor BH ONLINE hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati ada lapan paket bungkusan teh cina berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu. Semua lapan bungkusan seberat lapan kilogram dirampas dan dibawa ke pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
GAMBAR IHSAN APMM
“Anggaran nilai bagi keseluruhan rampasan berkenaan dianggarkan RM440,000,” katanya sambil menambah rampasan itu menunjukkan penyeludup kini sudah mempelbagaikan taktik mereka.
“Masyarakat terutamanya komuniti maritim diminta untuk bersama-sama berganding bahu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam memerangi jenayah maritim dan penyeludupan dadah,” katanya.