APM TANGKAP ULAR CEROBOH DAPUR KEDAI MAKAN
APM TANGKAP ULAR CEROBOH DAPUR KEDAI MAKAN
GUA MUSANG : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap seekor ular tedung selar sepanjang 4.5 meter yang masuk ke bahagian dapur sebuah kedai makan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Paloh 2 di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 11.40 pagi, ular seberat 15 kilogram itu dijumpai pemilik kedai terbabit ketika sedang membersihkan ruangan dapur berkenaan.
Pegawai APM Gua Musang, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, pemilik kedai yang berusia 41 tahun itu pada mulanya menyangka paip getah berada atas dapur itu.
GAMBAR IHSAN APM GUA MUSANG
Katanya, apabila lelaki terbabit menghampiri kawasan dapur, ular tedung selar itu bergerak dan terus lari menyelamatkan diri.
“Selepas menerima laporan, seramai tiga anggota bergegas ke lokasi dan menjumpai ular terbabit masih berada dalam kawasan dapur rumah kedai berkenaan.
“Anggota APM berjaya menangkap ular itu dalam masa 20 minit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi KOSMO! Online hari ini.
Mohd. Yussalmi berkata, ular berkenaan dipercayai keluar dari kawasan semak berhampiran sebelum masuk ke bahagian dapur sebuah rumah kedai terbabit untuk mencari makanan.
Katanya, ular itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.