APM sedia hadapi monsoon timur laut
APM sedia hadapi monsoon timur laut
KUANTAN – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang mengambil pendekatan serius dalam menghadapi bencana banjir dengan mengadakan Latihan Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) Bersama Media di Esplanade, Kuantan hari ini.
Latihan melibatkan seramai 10 pegawai dan 40 anggota serta beberapa wakil media turut dihadiri Pengarah Pertahanan Awam Negeri Pahang, Kol.(PA) Che Adam A. Rahman.
Latihan yang diadakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran anggota pasukan serta menguji Kesiapsiagaan aset bagi kegunaan semasa bencana di samping menjalinkan kerjasama erat bersama pihak media.
Che Adam turut menyatakan bahawa langkah sama turut dilaksanakan diperingkat daerah selain latihan Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) dalam meningkatkan daya tahan komuniti dalam menghadapi bencana.
Turut diadakan pada majlis yang sama adalah penyampaian sumbangan bekalan bahan mentah dan aset drone oleh Pegawai Bersekutu Pertahanan Awam Datuk Ngoh Wai Cheng dan Ts. Dr. Lee Leong Weng bagi meningkatkan kecekapan APM Pahang dalam pengurusan bencana.-SAHIH.