APM PAHANG SIAP SEDIA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT DAN BANJIR
APM PAHANG SIAP SEDIA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT DAN BANJIR
KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Pahang melaksanakan Program Retreat Kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 dan banjir dijangka berlaku pada hujung tahun ini dan awal tahun depan.
Program tersebut bertujuan memastikan kesiapsiagaan mengaturgerak pasukan bagi menghadapi MTL 2021/2021 dijangka berlaku hujung tahun ini.
Pengarah APM Negeri Pahang Kol. (PA) Che Adam A. Rahman berkata, program itu merupakan program pemula pegawai dan anggota dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas apabila menghadapi bencana banjir.
“Program ini turut akan panjangkan kepada pegawai di daerah-daerah lain untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi MTL dan banjir.
“Selain itu, sebanyak 140 Pangkalan Hadapan (PH) serta 787 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dikenalpasti bagi menghadapi gelombang MTL 2021/2022,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Katanya, APM Negeri Pahang mempunyai seramai 1,199 kekuatan sumber manusia yang merangkumi pegawai tetap Skim Keselamatan dan Pertahanan Awam dan Skim Pentadbiran di 11 daerah serta anggota-anggota sukarelawan.
“APM negeri ini mempunyai 74 buah kenderaan di air yang merangkumi bot jenis aluminium, fiber dan tempur manakala kenderaan darat sebanyak 36 buah iaitu kereta, lori, bas, ambulan dan kenderaan pancuan empat roda.
“Kekuatan anggota bagi kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) bagi setiap daerah ialah seramai 301 kekuatan petugas bagi 24 jam pertama, 411 petugas bagi 48 jam kedua dan 466 petugas bagi 72 jam ketiga,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pegawai dan anggota untuk sentiasa menjaga imej jabatan dan menggunakan aset yang telah diamanahkan dengan sebaiknya. –SAHIH.