APCIA BANTU SANG RIANG
BERA: Kegigihan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat Triang, menyediakan perkhidmatan penjagaan kepada golongan kurang berkemampuan, terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Terbaru, wakil Asia Pasific Consortium Investment Association (APCIA) tampil menyalurkan sumbangan kepada pihak pengurusan rumah kebajikan itu.
Sumbangan pelbagai barangan keperluan asas itu disampaikan Presiden dan Pengasas APCIA, Datuk Seri Ting Teck Sheng.
Majlis penyampaian sumbangan itu turut dihadiri Pengerusi Kehormat APCIA, Datuk Seri Lau Hua San dan Timbalan Presiden, Halidah Abdul Hamid.
Dalam ucapan ringkas pada majlis itu, Halidah berkata, peranan dan sumbangan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang sangat luar biasa dan perlu dicontohi serta disokong semua pihak.
”Sudah pasti tugas untuk menjaga dan menyediakan kemudahan selesa kepada warga emas bukanlah sesuatu yang mudah.. peranan dimainkan pihak pengurusan rumah kebajikan ini adalah sangat menarik dan membanggakan.
“Kami rasa sangat terharu dengan usaha dilakukan pihak pengurusan rumah kebajikan ini dan terpanggil untuk bersama membantu untuk meringankan bebanan ditanggung dengan menyampaikan sumbangan yang diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak penghuni di sini, ” katanya.
Halidah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu dalam memastikan program penyampaian sumbangan berkenaan berjalan lancar.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM); wakil dari QMIS Finance Group; Richwood Ventures Berhad; Fatt Hwa Temple Semenyih; Chang Dynasty; GFI Biotech Sdn Bhd yang turut sama dalam program kali ini,” katanya.
Beliau berharap kerjasama dan program bantuan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang, selain berharap lebih banyak syarikat korporat tampil menyalurkan bantuan serupa kepada rumah kebajikan yang memerlukan.