ANWAR: SPRM KEPUTUSAN GUGUR KES RASUAH DIBUAT AGC
ANWAR: SPRM KEPUTUSAN GUGUR KES RASUAH DIBUAT AGC
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata bahawa keputusan untuk menggugurkan kes ahli politik tertentu di negara ini dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka hari ini, lapor Malaysiakini.
GAMBAR HIASAN
Menurut Anwar, Azam memaklumkan perkara itu ketika dia membangkitkan mengenai insiden di mana beberapa ahli parlimen didakwa tetapi beberapa yang lain terlepas dari pendakwaan termasuk semasa era Pakatan Harapan (PH).
“Saya kata (kepada Azam) walaupun masa tu dalam PH, ada kes di mana ahli parlimen didakwa menerima wang dikatakan dari 1MDB.
“..maka ketika itu beberapa ahli parlimen dan bekas ahli parlimen UMNO didakwa (berhubung kes itu) dan (bagaimanapun) orang yang (didakwa) menerima wang yang melompat ke BERSATU ketika itu dilepaskan.
Katanya, isu begini tidak boleh dipertahankan, perkara ini menjadi rahsia umum, kes sama, fakta sama yang kekal pembangkang (ketika itu) didakwa, yang lompat dilepaskan.
“SPRM menjelaskan, mereka tidak terlibat dalam melepaskan sesiapa. Ini, kata mereka adalah wewenang budi bicara AGC atau peguam negara pada ketika itu,” katanya.
Anwar bercakap dengan wartawan di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya awal hari ini setelah menemui Azam selama kira-kira satu jam.
“Jadi, peguam negara dulu dan sekarang perlu jawab,” tambahnya.
Untuk rekod, Peguam Negara ketika pentadbiran PH selama 22 bulan adalah Tommy Thomas, sementara peguam negara ketika ini adalah Idrus Harun.