ANWAR AKUR TITAH RAJA- RAJA MELAYU
Berita Nasional
ANWAR AKUR TITAH RAJA – RAJA MELAYU
KUALA LUMPUR: PKR akur dengan titah Raja-Raja Melayu yang menekankan isu membabitkan salah guna kuasa dan keadilan supaya kedua-dua perkara itu tidak dipandang mudah.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata maka titah berkenaan harus didukung oleh semua pihak yang mempunyai kesedaran dan kesepaduan untuk menolak kebinasaan.
“Ingin saya tegaskan sebarang usaha mengembalikan mandat rakyat mestilah berpaksikan keutamaan mempertahankan maruah bangsa dan negara tanpa menggadaikan prinsip perjuangan dan idealisme.
“Peringatan dan penegasan Raja-Raja Melayu terkait penyalahgunaan kuasa dan prinsip keadilan tidak harus dipandang enteng, malah harus didukung oleh semua pihak yang punya kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan.
“Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mendambakan sebuah tatanan (sistem) yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada bulan depan, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata ia harus dirangka dengan menggembleng usaha dan peranan antara kerajaan serta pembangkang.
Jelasnya, langkah bipartisan itu dapat merencana strategi yang ampuh dalam usaha menangani dampak wabak pandemik COVID-19, pengangguran dan masa8lah kesihatan.
Sumber: BH Online