Anjing Dipukul Hingga Mati, Video Tular Undang Kecaman Netizen
Anjing Dipukul Hingga Mati, Video Tular Undang Kecaman Netizen
TEMERLOH – Aksi sekumpulan lelaki memukul seekor anjing hingga mati di Taman Mentakab Indah, di sini, mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman kejadian tersebut tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 petang tadi daripada seorang wanita berusia 23 tahun yang bekerja sebagai juruwang.
“Pengadu memaklumkan, kejadian berlaku pada 13 April lalu kira-kira jam 6.30 petang, ketika dia sedang bekerja.
Ibu pengadu yang berada di rumah telah melihat lima lelaki Melayu memukul seekor anjing dengan kayu sehingga haiwan itu mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, video kejadian itu telah dimuat naik ke laman Facebook dan meraih pelbagai reaksi netizen yang mengecam tindakan kejam tersebut.
Video berkenaan menunjukkan beberapa lelaki memukul seekor anjing yang dipercayai telah mati selepas diperlakukan sedemikian.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang saksi yang merakam kejadian tersebut telah tampil membuat laporan polis, manakala siasatan kini dijalankan oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Syamim Faiz bin Ab Aziz.
Tambah Mazlan, seorang lelaki Melayu turut tampil membuat laporan polis pada jam 9.14 pagi tadi, memaklumkan bahawa dia telah digigit seekor anjing berwarna coklat dan hitam semasa berada di Jalan Utama Taman Mentakab pada pagi 13 April, menyebabkan kaki kirinya luka dan bengkak.
“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 44 Akta Binatang 1953 dan kita akan memanggil individu terlibat dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes juga telah dirujuk kepada Majlis Perbandaran Temerloh untuk tindakan lanjut.-SAHIH