ANGKASA Wakil Amil Koperasi: Kutipan Zakat Cecah RM18.6 Juta
ANGKASA Wakil Amil Koperasi: Kutipan Zakat Cecah RM18.6 Juta
KUALA LUMPUR – ANGKASA terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuhkan ekosistem koperasi apabila berjaya mengutip zakat perniagaan koperasi berjumlah RM18.6 Juta bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, kutipan itu membuktikan kepercayaan tinggi terhadap ANGKASA yang dilantik sebagai wakil amil zakat koperasi oleh Majlis Agama Islam Negeri dan Pusat Zakat Negeri di seluruh negara.
“Kami memainkan peranan sebagai ejen yang membuat taksiran dan kutipan zakat perniagaan koperasi, bagi memastikan koperasi menunaikan tanggungjawab rukun Islam ketiga,” katanya.
Katanya, peranan itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada koperasi, malah memastikan urusan pembayaran zakat dilakukan secara tersusun dan sah mengikut ketetapan pihak berkuasa agama.
Menurut beliau, kerjasama ini juga membantu koperasi yang layak menepati syarat zakat, terutama apabila melebihi tempoh setahun operasi dan memiliki aset serta menjana keuntungan.
Sejak dilantik sebagai ejen amil bermula 2011, ANGKASA turut menerima pelbagai anugerah penghargaan, antaranya Anugerah Ejen Terbaik 2023 oleh Pusat Zakat Wilayah Persekutuan dan Anugerah Ejen Korporat Terbaik 2023 oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Selain itu, ANGKASA turut menerima Anugerah Zakat Kebangsaan (Syarikat Awam) 2017 daripada Jabatan Perdana Menteri, Anugerah Komitmen Terbaik (2012 dan 2014) serta Anugerah Prestasi Kutipan Terbaik (Kategori Ejen dan Syarikat) 2012 oleh Lembaga Zakat Selangor.
“Ini adalah hasil usaha berterusan seluruh warga koperasi dan bukti sinergi yang baik dalam pembangunan ekonomi ummah. – SAHIH