ANGKASA terus prihatin, infaq bantu rakyat pelbagai sektor
ANGKASA terus prihatin, infaq bantu rakyat pelbagai sektor
KUALA LUMPUR – Prihatin terhadap kebajikan rakyat, Yayasan Infaq ANGKASA (YIA) yang bernaung di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus mengorak langkah proaktif dalam membantu masyarakat.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, yayasan tersebut yang diasaskan melalui Skim Infaq Lil-Waqf pada tahun 2010 kini berjaya mencatat kutipan infaq kumulatif sebanyak RM32.57 juta, dengan agihan kepada golongan memerlukan berjumlah RM21.45 juta.
“Agihan dana ini melibatkan empat sektor utama iaitu sektor sosial sebanyak 41 peratus, kesihatan (25%), pendidikan (26%) dan ekonomi (8%),” katanya.
Menurutnya, Yayasan Infaq ANGKASA yang didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 pada 9 Julai 2021, memainkan peranan besar dalam menaik taraf kehidupan rakyat dari segi sosioekonomi dan pendidikan, di samping memperkukuh aspek kesihatan komuniti.
“Kita laksanakan pengagihan dana secara tersusun dan sistematik, berlandaskan prinsip Maqasid Syariah supaya sumbangan benar-benar sampai kepada yang memerlukan.
Penyerahan bantuan dan simbolik perasmian projek kerjasama Yayasan Infaq ANGKASA bersama koperasi terpilih, antaranya Projek Charity Parking di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Selangor.
Tambah Abdul Fattah, YIA akan terus diperkasa sebagai wadah penyatuan dan pemberdayaan masyarakat menerusi koperasi dan inisiatif infaq yang inklusif.
“Setiap sen yang disumbangkan adalah amanah. Kami pastikan ia diurus dengan telus demi manfaat semua pihak,” katanya.-SAHIH
