ANGKASA santuni penubuhan Koperasi Masjid Al Hurriyah di Bogor
ANGKASA santuni penubuhan Koperasi Masjid Al Hurriyah di Bogor
BOGOR – Lawatan rasmi delegasi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) diteruskan ke Bogor, Indonesia, hari ini dengan perasmian penubuhan Koperasi Masjid Al Hurriyah yang terletak di Kampus Institut Pertanian Bogor (IPB) Dramaga.
Penubuhan koperasi itu dilihat sebagai model koperasi masjid berasaskan institusi pendidikan tinggi yang berpotensi besar dalam melahirkan usahawan koperasi berpengetahuan, selain memperkukuh ekosistem ekonomi warga kampus.
Delegasi ANGKASA diketuai Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, yang turut diberikan taklimat mengenai operasi koperasi, struktur pengurusan serta aktiviti ekonomi yang sedang dan bakal dilaksanakan.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah,
Kehadiran delegasi turut disambut Ketua Umum DKM Al Hurriyyah IPB yang diwakili Kepala Bidang Haji dan Umrah Al Hurriyyah IPB, Prof. Dr. Hamim, serta Kepala Lembaga Kepemimpinan dan Pendidikan Eksekutif (LKPE) IPB yang diwakili Dr. Pria Sembada.
Lawatan tapak yang diadakan memberi gambaran jelas mengenai potensi koperasi masjid dalam menyokong keperluan warga kampus dan komuniti setempat, selain menjadi platform pembangunan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, sinergi antara masjid, koperasi dan institusi akademik mampu memperkukuh ekosistem ekonomi berasaskan ilmu serta nilai keusahawanan.
Menurutnya, model koperasi masjid di institusi pendidikan tinggi wajar diperluaskan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi berteraskan ilmu dan pemerkasaan komuniti.
Program hari keempat lawatan ini sekali gus mengukuhkan komitmen ANGKASA dalam memperluas jaringan koperasi masjid di Indonesia sebagai sebahagian usaha memperkasa gerakan koperasi di peringkat serantau.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd. Jalil; Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman; serta Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed. – SAHIH
