ANGKASA SAMBUT ULANG TAHUN JUBLI EMAS
ANGKASA SAMBUT ULANG TAHUN JUBLI EMAS
PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyambut usia jubli emas setelah melalui pelbagai rintangan dan fasa yang membawa kepada kejayaan dalam memperkasa gerakan koperasi negara setelah 50 tahun penubuhannya.
Bermula dengan keanggotaan ahli sebanyak 719 buah koperasi, ANGKASA kini memayungi 14,668 buah koperasi yang menyumbangkan RM45.8 bilion perolehan pada tahun 2019. ANGKASA secara rasmi diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan puncak mewakili gerakan koperasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 23 Mei 1996.
Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, tema ‘Menjulang Aspirasi Koperasi’, ANGKASA menekankan amalan dan jati diri gerakan koperasi itu sendiri iaitu ‘Bekerja Bersama-sama Demi Manfaat Bersama’.
“Ini akan menyemarakkan semangat para koperator untuk menambah ilmu, meningkatkan kemahiran dan membudayakan koperasi sebagai gaya hidup agar gerakan koperasi akan terus menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi negara demi kemakmuran bersama.
“Sempena Ulang Tahun ke-50 pada hari ini, selangkah lagi ke arah kejayaan dan 12 Mei 2021 detik bersejarah dalam penubuhan koperasi negara,”katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, ANGKASA telah mewujudkan Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA) pada tahun 1977 yang mana semua potongan koperasi dan lain-lain organisasi diuruskan melalui satu saluran demi memudahkan urusan potongan gaji anggota diproses oleh jabatan kerajaan atau majikan swasta yang berdaftar dengan BPA.
“Positifnya BPA menggunakan Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) berperanan mengawal peningkatan kadar keberhutangan supaya tidak melebihi had 60 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam.
“ANGKASA turut menubuhkan lapan Sektor Peneraju Pembangunan Perniagaan Koperasi yang memfokuskan kepada sektor perniagaan berimpak tinggi termasuk Sektor Kewangan, Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani, Sektor Perladangan, Sektor Pembangunan Komuniti, Sektor Inovasi dan Teknologi.
Katanya, selain itu Sektor Pemborongan dan Peruncitan, Sektor Hartanah dan Industri Binaan serta Sektor Pelancongan serta Penjagaan Diri dan Kesihatan.
Abdul Fattah berkata, model koperasi sekolah yang amat unik dan hanya wujud di negara ini menjadi rujukan negara luar bagi pembangunan modal insan generasi muda kerana koperasi sekolah memberi peluang kepada pelajar meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan koperasi dan pengurusan perniagaan.
“Sehingga bulan Jun 2020, terdapat 2,444 buah koperasi berbanding sembilan (9) buah koperasi sekolah yang mula ditubuhkan pada tahun 1968, sehingga Disember 2019, perolehan koperasi sekolah ialah sebanyak RM421.11 juta, kini terdapat 12 buah koperasi sekolah yang telah mencapai perolehan melebihi RM1 Juta.
“Selain menjadi suara dan menggerakkan koperasi dalam negara, ANGKASA turut bergerak aktif di persada antarabangsa, sejak tahun 1972, ANGKASA menjalinkan hubungan baik dengan badan induk gerakan koperasi dunia, International Cooperative Alliance (ICA) serta giat meningkatkan kerjasama strategik dengan koperasi luar negara,” katanya.
Katanya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) membantu merealisasikan agenda untuk memacu gerakan koperasi sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi yang seimbang, inklusif dan mampan selain menyumbang sebanyak RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.-SAHIH.