ANGKASA Perkasa Koperasi Negara Menerusi PESAN50 dan CEP
ANGKASA Perkasa Koperasi Negara Menerusi PESAN50 dan CEP
KUALA LUMPUR – Pelan Strategik ANGKASA 2050 atau PESAN50, yang mula dilaksanakan sejak 2017, kini terus dipacu ke hadapan dalam usaha memartabatkan gerakan koperasi negara melalui pelbagai inisiatif berskala besar.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah, berkata pelan jangka panjang itu merupakan manifestasi peranan ANGKASA sebagai badan apeks koperasi negara yang memacu pembangunan strategik koperasi sehingga tahun 2050.
“PESAN50 telah dibina secara menyeluruh melalui tiga fasa utama iaitu jangka pendek (2017–2020), jangka sederhana (2021–2030) dan jangka panjang (2031–2050). Ia memberi hala tuju jelas bagaimana koperasi mampu menjadi gaya hidup rakyat pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjelang Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-39 (MAPA 2025) yang akan berlangsung pada 5 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Jelasnya lagi, sebagai antara teras pelaksanaan PESAN50, inisiatif Cooperative Empowerment Project (CEP) telah diperkenalkan bagi memperkukuh daya saing koperasi melalui projek-projek impak tinggi yang menyeluruh.
“CEP dilaksanakan melalui gabungan kerjasama strategik antara ANGKASA, koperasi serta rakan industri, dan merangkumi tiga peringkat utama iaitu CEP1, CEP2 dan CEP3. Matlamatnya adalah membentuk rantaian ekonomi yang lengkap merangkumi huluan hingga hiliran,” katanya.
Tambahnya, lapan sektor utama dikenal pasti dalam Pelan Induk Ekonomi Strategik ANGKASA sebagai tunjang pelaksanaan CEP, termasuk sektor teknologi, pertanian, pelancongan, kewangan, pemborongan, perumahan, perdagangan dan komuniti.
“Setiap sektor ini akan menjadi pemacu kepada pembangunan model perniagaan koperasi secara sistematik dan bersepadu. Koperasi yang berpotensi juga akan diperkasakan melalui penyertaan langsung dalam projek-projek ini,” katanya.
Menurutnya, usaha itu membuktikan bahawa koperasi bukan sahaja mampu bersaing dalam pasaran arus perdana, bahkan berperanan sebagai penggerak ekonomi rakyat yang mampan dan inklusif.-SAHIH