ANGKASA martabat pendidikan menerusi Wakalah Zakat
ANGKASA martabat pendidikan menerusi Wakalah Zakat
BALIK PULAU – Usaha Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam memartabatkan institusi pendidikan menerusi sumbangan Wakalah Zakat terus mendapat pengiktirafan dan wajar dijadikan contoh kepada semua pihak.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, inisiatif meningkatkan kualiti pelajar sejajar dengan keperluan pendidikan moden memerlukan perancangan strategik yang tepat, pantas serta disokong peruntukan bajet yang mencukupi.
Menurutnya, usaha berterusan seperti yang dilaksanakan ANGKASA selari dengan teras pendidikan moden yang menekankan pembangunan kemahiran, inovasi dan kebajikan pelajar, khususnya golongan memerlukan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Maker Lab dan Penyerahan Wakalah Zakat ANGKASA Pulau Pinang kepada asnaf koperasi di Maahad Al-Mashoor Al-Islami, di sini, semalam.
Sementara itu, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, selain meningkatkan taraf sosioekonomi koperasi, ANGKASA turut memberi penekanan terhadap usaha memperkasakan pendidikan anggota koperasi, khususnya pelajar yang memerlukan sokongan.

Beliau yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah merakamkan penghargaan kepada Pusat Zakat Pulau Pinang atas kepercayaan yang diberikan kepada ANGKASA untuk mengagihkan Wakalah Zakat bagi tahun 2023.
Katanya, kepercayaan itu membuktikan koperasi bukan sahaja berperanan dalam pembangunan ekonomi, malah turut menjadi saluran kebajikan penting kepada masyarakat.
Menurut beliau, kehadiran Datuk Dr. Mohamad pada majlis itu disifatkan sebagai tanda sokongan kerajaan negeri terhadap usaha berterusan ANGKASA memperkasakan sektor pendidikan melalui pendekatan koperasi.
Dalam majlis sama, ANGKASA Negeri Pulau Pinang menerima peruntukan Wakalah Zakat berjumlah RM78,175.04.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM60,000 diperuntukkan kepada Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Mashoor Al-Islami bagi menyokong kelangsungan pendidikan dan kesejahteraan pelajar.
Baki RM18,175.04 pula diagihkan kepada empat koperasi terpilih dengan setiap koperasi menerima RM4,543.76.
Koperasi terbabit ialah Koperasi Kolej Tingkatan Enam Hutching Pulau Pinang Berhad, Koperasi Ibu Tunggal dan Wanita Mutiara Berhad, Koperasi Pulau Betong Balik Pulau Berhad dan Koperasi Sungai Gelugor Pulau Pinang Berhad.-SAHIH
