ANGKASA lulus RM255 juta laksana sembilan projek berimpak tinggi
ANGKASA lulus RM255 juta laksana sembilan projek berimpak tinggi
KUALA LUMPUR 5 Julai 2025 – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meluluskan peruntukan sebanyak RM255 juta bagi melaksanakan sembilan projek perniagaan berimpak tinggi yang dijangka memberi manfaat besar kepada warga koperasi dan rakyat.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, antara projek utama yang diluluskan termasuk pemilikan institusi bank digital koperasi, pembangunan perumahan mampu milik, inisiatif keterjaminan makanan serta projek pembangunan produk tenusu.
“Kita mahu koperasi terus kekal relevan dan menjadi pemain utama dalam sektor-sektor strategik seperti perkhidmatan kewangan digital, keterjaminan makanan serta penyediaan perumahan rakyat.
“Peruntukan ini penting untuk melonjakkan potensi koperasi ke tahap yang lebih kompetitif dan lestari,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA ke-39 (MAPA 39) di World Trade Centre Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam mesyuarat sama, dua jawatan utama turut dipertandingkan iaitu Presiden dan Timbalan Presiden ANGKASA bagi penggal 2025 hingga 2028.
Abdul Fattah berjaya mengekalkan jawatan Presiden selepas meraih sokongan majoriti perwakilan, manakala Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dipilih sebagai Timbalan Presiden.
MAPA 39 turut menghimpunkan seramai 4,898 perwakilan koperasi dari seluruh negara yang membincangkan pelbagai resolusi penting serta hala tuju strategik gerakan koperasi Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.-SAHIH