ANGKASA–BAZNAS perluas peranan koperasi masjid di Bandung Barat
ANGKASA–BAZNAS perluas peranan koperasi masjid di Bandung Barat
BANDUNG BARAT – ANGKASA memperluas peranan koperasi masjid di peringkat serantau apabila merasmikan penubuhan Koperasi Kariah Masjid Ash-Sholihin Cisarua di sini, semalam, bagi memperkasa ekonomi komuniti berasaskan institusi masjid.
Majlis perasmian disempurnakan Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, bersama delegasi Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia.
Penubuhan koperasi itu turut menjadi platform perkongsian pengalaman antara Malaysia dan Indonesia dalam membangunkan koperasi masjid yang mampan, berdaya saing serta berteraskan prinsip syariah.

Ketibaan delegasi ANGKASA disambut Koordinator Program BAZNAS Microfinance Masjid, M. Sholeh; Kepala Bagian Humas BAZNAS RI, Yudhiarma MK, M.Si; Wakil Ketua III BAZNAS Jawa Barat, Ibu Hj. Ruri serta Kepala Kementerian Agama Kabupaten Bandung Barat, H. Mukti.
M. Sholeh berkata, penubuhan Koperasi Masjid Ash-Sholihin adalah langkah strategik dalam memperkukuh ekonomi kariah dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Menurutnya, koperasi masjid bukan sahaja membuka peluang ekonomi, malah berperanan sebagai pusat pembangunan sosial dan kebajikan komuniti.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menegaskan, masjid perlu kembali berfungsi sebagai pusat pembangunan ummah, bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya turut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat.
Beliau berkata, pengalaman ANGKASA dalam membangunkan koperasi masjid di Malaysia membuktikan tadbir urus yang baik serta pengurusan profesional mampu meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.
“Pengurusan koperasi masjid yang tersusun mampu menjadi pemangkin kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat, sekali gus mengembalikan peranan masjid sebagai pusat kegemilangan ummah,” katanya.
Delegasi ANGKASA turut mengadakan lawatan sekitar kawasan bagi mengenal pasti potensi ekonomi komuniti yang boleh dimanfaatkan melalui inisiatif koperasi masjid, selain mengadakan sesi perbincangan mengenai tadbir urus dan penglibatan aktif ahli kariah.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd. Jalil; Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman serta Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed. – SAHIH
