ANGKARA HUTANG, LELAKI MAUT DIBELASAH
ANGKARA HUTANG, LELAKI MAUT DIBELASAH
KULAI – Seorang lelaki maut selepas dipercayai dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Tan Yok Fong di sini semalam.
Lelaki berusia 46 tahun itu menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dekat sini kira-kira pukul 9.45 malam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan menceroboh masuk ke kediaman seorang wanita di jalan berkenaan.
“Dalam kejadian tersebut, penghuni rumah iaitu seorang wanita berusia 31 tahun yang sedang tidur menyedari kediamannya cuba dimasuki seorang lelaki sebelum wanita berkenaan menghubungi rakannya dan sebaik menyedari kehadiran rakan mangsa, suspek cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan antara mereka.
“Pergelutan tersebut telah menarik perhatian orang awam sebelum menghubungi pihak polis. Setibanya polis di lokasi pada pukul 8.30 pagi mendapati lelaki berkenaan telah dipukul orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, mangsa dikejarkan ke HSA selepas mengalami kecederaan parah untuk mendapatkan rawatan sebelum meninggal dunia dan polis seterusnya menahan wanita berkenaan beserta tiga lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia yang berusia 31 hingga 54 tahun.
“Manakala seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut masih diburu polis.
“Siasatan awal terhadap wanita berkenaan mendapati kejadian itu berpunca kerana isu hutang,” ujarnya.
Beng Yeow turut memberitahu, polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan antaranya termasuklah dua telefon bimbit, sebuah kenderaan, satu batang paip PVC sepanjang 80 sentimeter dan satu botol air yang telah pecah, lapor KOSMO online
“Kesemua individu yang ditahan kini dikenakan reman selama enam hari bermula hari ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
“Sehubungan itu orang awam diminta menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan,” jelasnya.