Anggota tentera parah dipercayai dibuli rakan setugas di kem Bentong
Anggota tentera parah dipercayai dibuli rakan setugas di kem Bentong
BENTONG – Seorang anggota tentera dilaporkan parah selepas dipercayai menjadi mangsa buli oleh rakan setugas dalam kejadian di sebuah kem tentera di daerah ini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar
Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.45 pagi, Selasa. Laporan berkenaan dibuat oleh bapa mangsa berusia 49 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam pada 30 Mac lalu di dalam kem Rejimen Askar Melayu Diraja Batalion ke-25 di Bentong.
“Siasatan mendapati seorang anggota tentera berpangkat koperal dipercayai memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.
“Dalam kejadian itu, seorang mangsa berusia 24 tahun dilaporkan pengsan dan masih tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya.
Katanya, selain itu, terdapat enam lagi mangsa berusia antara 19 hingga 22 tahun yang turut berada dalam kejadian tersebut dan dipercayai turut mengalami kecederaan.
“Polis turut menahan seorang anggota tentera berpangkat koperal berusia 37 tahun pada jam 2.30 petang, Selasa bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah, dan suspek direman selama empat hari bermula 1 hingga 4 April 2026,” katanya.
Zaiham menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, sambil menegaskan polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.-SAHIH.
