Anggota tentera meninggal dunia di Hospital Temerloh
Anggota tentera meninggal dunia di Hospital Temerloh
TEMERLOH: Anggota tentera, Muhammad Amirul Raziq bin Rosafindi, 24, yang sebelum ini dilaporkan kritikal selepas dipercayai dipukul, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Temerloh, pagi tadi.
Adik mangsa, Ainur Shazwani Rosafindi berkata, abangnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.34 pagi.
Menurutnya, dia dan bapa mereka, Rosafindi bin Tambi Chik, 49, berada di sisi mangsa ketika kejadian.
“Abang meninggal dunia di hospital. Saya dengan ayah ada bersama ketika itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ainur Shazwani berkata, jenazah akan dikebumikan di Felda Sungai Kelanah.
Katanya, termasuk hari ini, mangsa sudah 12 hari menerima rawatan sejak dimasukkan ke hospital akibat kejadian berkenaan.
Sebelum ini, SAHIH melaporkan mangsa berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai dipukul ketika menjalani latihan sebelum dibawa ke Hospital Bentong.
Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut selepas dilaporkan mengalami masalah serius termasuk jantung terhenti kira-kira sejam sebelum doktor melakukan CPR.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menahan seorang anggota tentera bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.-SAHIH
