ANGGOTA RELA DILANGGAR PEMANDU BMW DEPAN SEKOLAH
ANGGOTA RELA DILANGGAR PEMANDU BMW DEPAN SEKOLAH
SHAH ALAM – Niat murni seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengawal lalu lintas di hadapan sebuah sekolah menengah di Kota Kemuning di sini dibalas tindakan tidak sewajarnya apabila dikatakan dilanggar sebuah kereta mewah jenis BMW.
Insiden yang dipercayai berlaku pada 5.20 petang semalam itu tular di laman sosial menerusi video berdurasi 32 saat.
Berdasarkan video tersebut anggota RELA itu menahan kereta BMW itu susulan laluan dikatakan dijadikan sehala pada waktu kemuncak bagi menjaga keselamatan pelajar yang pulang ke sekolah.
Malah kedengaran dua suara kanak-kanak di dalam video itu yang menjerit ketika kejadian berlaku.
“Dia (pemandu kereta) terlanggar kaki orang itu (anggota rela) dan oh my goodness! (Oh Tuhanku),” jelasnya.
Beberapa pengguna laman sosial Facebook menyelar tindakan tersebut yang disifatkan keterlaluan, lapor KOSMO! Online.
“Harap pemandu itu dikenakan tindakan dan minta maaf kepada uncle (anggota RELA),” jelas pengguna dengan nama Mona Mohd. Dan.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada anggota RELA tersebut semalam.
“Kedua-dua pihak telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini untuk dirakamkan keterangan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.