ANGGOTA POLIS TAHU PANTANG LARANG SENJATA API
ANGGOTA POLIS TAHU PANTANG LARANG SENJATA API
TEMERLOH: Semua anggota tahu pantang larang dengan senjata api yang mereka miliki, samada ditinggalkan di stor penyimpanan senjata ketika tidak bertugas atau sentiasa dijaga dan tersarung kecuali ketika perlu dalam menjalankan tugas atau semasa operasi tertentu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata semua anggota polis sudah sedia maklum dengan prosedur ketat yang dikenakan berkaitan dengan senjata api dan tidak boleh mengeluarkan daripada sarung, bergurau, bermain-main, mengacu dengan senjata api dan menunjuk-nunjuk tanpa sebab dan tujuan.
Beliau berkata demikian ekoran berlaku kes tertembak Konstabel Norhalim Tumiran, berusia 24 tahun oleh rakan setugasnya di Sibu yang membawa kematian.
“Pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bersimpati dengan anggota kita yang maut dan bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Sibu Satu sebagai anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dunia di tempat kejadian.
“PDRM akan cuba memberi bantuan tertentu dan menyemak sama ada allahyarham mempunyai insuran berkelompok Koperasi Polis, serta turut mengkaji ganjarannya sebagai penjawat awam mengikut peraturan yang ada,”katanya di kediaman Allahyarkan di Felda Bukit Damar, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ketua Polis Negeri Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan; Ketua Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sarawak, SAC Datuk Muhammed Hasbullah Ali dan Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Yusri Othman.
Katanya, selain itu, amalan PDRM akan memberi pelepasan seminggu selepas anggota tamat latihan sebelum dihantar bertugas ke tempat baharu sebagai penempatan pertama.
“Oleh kerana pada masa ini pandemik penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan, pihak PDRM cuba mengelakkan risiko dijangkiti oleh anggota ketika pulang bercuti, kerana anggota yang bakal ditempatkan bertugas sudah dikuarantin seminggu di pusat latihan.
“Pastinya sedih kerana Allahyarham telah menerima latihan di pusat latihan, sudah pasti mahu bertemu isteri, anak dan ahli keluarganya sebelum berangkat ke Sibu, tapi Allah lebih menyayangi Allahyarham,” katanya.
Katanya, semoga keluarga arwah diberi kekuatan dan sentiasa memelihara kehidupan mereka dengan baik dan bersabar dengan ketentuan yang telah berlaku kepada orang tersayang mereka.
“Saya juga berterima kasih kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang turut menyambut jenazah serta selamat disempurnakan perkebumian anggota saya pada 11.00 malam, semalam.
“Walau bagaimana, siasatan terperinci berkaitan kes ini sedang dijalankan,” katanya.-SAHIH.