MAUT KEJAR PENJENAYAH
MPV DIPERCAYAI BERGESEL SEBELUM BERTEMBUNG DENGAN SUV
JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis maut dalam kemalangan di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau, awal pagi tadi, dipercayai ketika mengejar penjenayah.
Dalam kejadian jam 6.24 pagi itu, MPV dipandu anggota polis berkenaan mengejar dua suspek yang menaiki Perodua Myvi.
Ketika di tempat kejadian, MPV terbabit dipercayai bergesel dengan kenderaan suspek sebelum bertembung dengan Perodua Aruz dinaiki orang awam.
Pertembungan itu mengakibatkan MPV terbabit terbalik dan seorang anggota polis maut di tempat kejadian, manakala rakan setugas tidak mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, tujuh anggota dan dua jentera bergegas ke tempat kemalangan.
Turut cedera, dua lelaki iaitu pemandu dan penumpang kenderaan Perodua Aruz.
Mayat anggota polis dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.