Anak Pos Betau Pintar: USM, UN Perkasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Orang Asli
Anak Pos Betau Pintar: USM, UN Perkasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak Orang Asli
LIPIS– Usaha memperkasa pendidikan awal kanak-kanak Orang Asli terus diperkukuh melalui pelaksanaan Program Shaping First Steps: Early Childhood Education in Educating Orang Asli di Pos Betau, semalam.
Program berasaskan komuniti itu hasil kolaborasi antara Universiti Sains Malaysia (USM), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) di Malaysia dan Yayasan MySDG, dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia, bertujuan menyokong pembangunan pendidikan awal komuniti Orang Asli melalui pendekatan menyeluruh dan berimpak tinggi.
Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau itu menumpukan kepada peningkatan literasi asas, kreativiti dan pembelajaran inklusif bagi membantu kanak-kanak Orang Asli menguasai kemahiran asas sejak peringkat prasekolah.

Antara 123 peserta terlibat dalam program tersebut, termasuk 50 murid prasekolah Orang Asli yang menerima bahan sokongan pembelajaran seperti peranti luar talian, modul interaktif dan aktiviti literasi asas.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Dr. Azlan Amran, berkata pendidikan awal merupakan asas penting dalam membentuk generasi Orang Asli yang berdaya saing serta mampu menghadapi cabaran masa depan.
“Kolaborasi strategik antara universiti dan komuniti membuktikan pendidikan mampu menjadi pemangkin perubahan sosial sebenar. Program ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), malah membuka ruang kepada inovasi serta pembelajaran kreatif,” katanya.
Seramai 123 peserta terlibat dalam program berkenaan, termasuk 50 murid prasekolah Orang Asli yang menerima bahan sokongan pembelajaran seperti peranti luar talian, modul interaktif dan aktiviti literasi asas.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran yang digunakan menggabungkan elemen sukan serta aktiviti luar bilik darjah bagi menarik minat murid, selaras dengan budaya dan keperluan komuniti setempat.
Pengetua SMK RPS Betau, Mat Daud Mamat, turut menzahirkan penghargaan kepada USM atas usaha tersebut yang disifatkan memberi impak positif terhadap perkembangan murid.
“Pendekatan menyeronokkan ini membantu murid menguasai kemahiran asas dengan lebih cepat serta meningkatkan keyakinan diri mereka untuk belajar,” katanya.
Sementara itu, wakil Malaysia–United Nations (UN) SDG Trust Fund, Navreena Levan, menyifatkan pendekatan USM sebagai inisiatif segar dan efektif dalam mendekati komuniti Orang Asli.
“Komitmen universiti dalam memperluas capaian pendidikan kepada golongan memerlukan selaras dengan Transformasi Agenda APEX wajar dipuji kerana berjaya mendekatkan jurang pembelajaran bandar dan luar bandar,” katanya.-SAHIH.