Anak muda selesa dengan pendekatan Amizar
Anak muda selesa dengan pendekatan Amizar
BENTONG – Dalam PRK Pelangai kali ini, tidak dapat dinafikan betapa pentingnya undi daripada anak muda dan golongan belia.
Pendekatan dilakukan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam yang selalu mendekati kumpulan ini dilihat boleh memberi kelebihan kepadanya.
Walaupun jadual kempen yang padat setiap hari, Amizar tidak pernah mengecewakan permintaan kumpulan anak muda untuk bertemu muka.
Semalam, dia bergegas ke Simpang Pelangai apabila menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada kumpulan belia dan anak muda di situ.
“Dato’ ada mana tu? Meh lah datang lepak sini kat kedai Mok Burger.
“Ada busking siap ni,” demikian kandungan WhatsApp diterima Amizar.
Dia yang berada di Telemong ketika menerima pesanan itu, terus menghala ke lokasi dijanjikan.
Di situ, Amizar diminta menyumbangkan dua lagi diiringi pemuzik busker yang berada di kedai berkenaan.
“Sampai sahaja di kedai, saya lihat ramai anak muda yang kebanyakan hadir dari Kampung Baris, Kampung Jawi-Jawi, Kampung Bukit Gajah dan Kampung Simpang Pelangai sendiri.
“Tiba-tiba saya diajak untuk menyanyikan sebuah lagu bersama ‘team’ busker yang memang sudah ada disini.
“Fikiran yang tadi melayang kini kembali fokus.
“Lagu perlahan menjadi pilihan.
“Habis dua lagu, saya di ‘dera’ lagi oleh anak-anak muda ini untuk tunjukkan kemahiran bermain gitar.
“Satu Pelangai tahu, masa saya muda remaja dahulu memang saya aktif bermain muzik.
“Dapatlah tunjuk satu dua skill semalam,” katanya melalui satu hantaran di FB
Amizar yang sememangnya mudah didekati penduduk di Pelangai sempat berpesan kepada anak muda di situ untuk tidak lepak terlalu lama.
“Lepak-lepak jugak. Esok subuh jangan tak bangun,” katanya sebelum beredar untuk meneruskan kempen.
PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar (BN); Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas.
Hari mengundi bagi PRK Pelangai ditetapkan pada Sabtu ini, 7 Oktober.- SAHIH