Anak jurulatih Bola Baling Malaysia ke Sukan Asia 2018 dipilih pemain terbaik MSS Pahang 2022
Foto atas : Pasukan MSSD Jerantut muncul juara kategori 18 tahun MSS Pahang 2022.
Anak jurulatih Bola Baling Malaysia ke Sukan Asia 2018 dipilih pemain terbaik MSS Pahang 2022
JERANTUT – Muhammad Irham Hijazi Shamsul Nizam dipilih sebagai pemain terbaik kategori bawah 18 tahun lelaki di Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSP) Pahang 2022 yang diadakan di Gelanggang Futsal Majlis Daerah Raub, Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Ching, Raub, baru-baru ini.
Pemain terbaik itu anak kepada jurulatih pasukan Bola Baling Sukan Asia di Jakarta 2018, Shamsul Nizam Muhammad Ali yang mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut dan bersekolah di Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang, Jerantut.
Juruteknik Pemainan Bola baling MSSD Jerantut, Mohd Fekry Yahya berkata, Muhammad Irham Hijazi, selain bermain untuk pasukan MSSD Jerantut sejak berusia 11 tahun untuk mewakil pasukan bawah 12 tahun lelaki, dia turut bermain dengan pasukan Kelab Bola Baling Jerantut pada usia 13 tahun dan turut bermain dengan pasukan Phantom yang berpengkalan di Kuala Lumpur.
“Pengalamannya bermain sukan ini bermula usia 11 tahun mematangkan permainannya serta dapat membantu pasukan MSSD Jerantut untuk muncul juara.
“Dia yang bermain dengan kelab bola baling Jerantut dan di Kuala Lumpur turut meningkatkan kemahirannya serta kematangan dalam permainan, dia juga adalah aset MSSP Pahang ke kejohanan MSS Malaysia yang bakal diadakan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, pasukan MSSD Jerantut muncul juara di kejohanan itu bagi kategori Bawah 18 lelaki dengan menewaskan MSSD Raub dengan jaringan tipis 12-10. Tempat ke-3 MSSD Lipis, dan MSSD Bentong tempat ke-4.
Bagi kategori 18 tahun perempuan, MSSD Lipis muncul juara selepas menumpaskan MSSD Kuantan dengan jaringan 10-5, tempat ke-3 pasukan MSSD Raub dan tempat ke-4 MSSD Bera.
Kategori 12 lelaki, MSSD Kuantan menang tipis menewaskan pasukan Jerantut (7-6) untuk muncul juara, manakala tempat ketiga MSSD Lipis yang menewaskan Temerloh untuk tempat ke-4.
Pasukan MSSD Lipis muncul juara bagi kategori bawah 12 perempuan menewaskan MSSD Temerloh dengan jaringan (12-4) dan MSSD Maran tempat ke-3 dan MSSD Jerantut tempat ke-4.
Pemain terbaik bagi kategori 18 perempuan, Siti Sarah Rozali (MSSD Kuantan), kategori lelaki 12 tahun, Muhammad Muaz Abdul Mutalib (MSSD Kuantan) dan Yuranika A/P Bah Yo dari MSSD Lipis dipilih sebagai pemain terbaik kategori perempuan 12 tahun. Johan keseluruhan MSSD Lipis.-SAHIH.