Amizar miliki pengalaman, dikenali penduduk setempat
Amizar miliki pengalaman, dikenali penduduk setempat
BENTONG – Pemilihan calon BN untuk PRK Pelangai sudah selesai Rabu lalu.
Seperti dijangka, anak jati FELDA Chemomoi, Datuk Amizar Abu Adam adalah calon terbaik untuk meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Amizar bukan nama asing dalam kalangan penduduk setempat.
Ahli perniagaan itu berusia 50 tahun dan memiliki kelulusan akademik yang bagus.
Beliau mempunyai ijazah sarjana muda pengurusan perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia.
Selain itu, Amizar juga memiliki ijazah sarjana (Master) dalam pengajian pengurusan strategik dan kepimpinan dari Universiti Sains Malaysia.
Pembabitan beliau dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kami Anak FELDA (KAF) membawa visi yang jelas, untuk membantu membangunkan ekonomi di kawasan tanah rancangan itu.
Amizar memegang jawatan sebagai Bendahari Agung KAF sejak 2020 hingga kini.
Jawatan lain disandang beliau dalam KAF pula antaranya Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan dan Pengerusi KAF Wilayah Mempaga.
Amizar adalah ahli jawatankuasa UMNO Bentong dan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Biro Ekonomi Pemuda UMNO Malaysia.
Dengan pelbagai pengalaman dalam aktiviti kemasyarakatan dan ekonomi, sudah tentu pengundi di Pelangai mempunyai peluang untuk memilih calon terbaik dalam PRK pada 7 Oktober nanti.-SAHIH