Amizar komited teruskan legasi Allahyarham Johari di Pelangai
Amizar komited teruskan legasi Allahyarham Johari di Pelangai
BENTONG – Datuk Amizar Abu Adam menyatakan komitmennya untuk meneruskan segala perancangan dibuat Allahyarham Datuk Seri Johari Harun diteruskan jika terpilih sebagai wakil rakyat.
Dia yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Pelangai sedia meneruskan legasi ditinggalkan Johari, demi kebaikan penduduk di kawasan itu.
Amizar turut menyedari penduduk dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pelangai dibahagikan kepada tiga segmen utama.
“Tiga elemen itu adalah kepelbagaian kaum, komuniti kampung tradisional dan kawasan tanah rancangan FELDA.
“Semua elemen ini memerlukan kemudahan sama, sistem perhubungan jalan raya yang baik dan selesa,” katanya.
Amizar berkata demikian ketika ditemui media di kediaman keluarganya di FELDA Chemomoi, dekat sini, hari ini.
Pada PRK Pelangai yang selesai proses penamaan calon pagi tadi, Amizar adalah calon ‘Nombor Tiga’ dan akan berdepan dua lagi calon iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Kassim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Dia turut melihat keperluan mendesak untuk menyediakan jaringan jalan raya lebih sistematik untuk merancakkan kegiatan ekonomi di Pelangai.
“Insyaa Allah yang ini saya nampak membantu kepada anak-anak ulang alik pergi ke Bentong, pergi ke Negeri Sembilan, jadi inilah jalan utama supaya dapat diperbaiki dengan lebih sempurna,” katanya lagi.
Amizar juga berharap jentera BN dapat bekerjasama bagi menyekat ‘gelombang hijau’ daripada memasuki kawasan Pelangai yang menjadi kubu kuat BN sejak 1986.
Penyandang DUN Pelangai, Johari menang kerusi dengan majoriti 4,048 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyediakan 10 pusat mengundi dengan 31 saluran membabitkan sembilan pusat mengundi biasa yang mengandungi 30 saluran dan satu pusat mengundi awal.
Tarikh mengundi awal adalah pada 3 Oktober manakala hari mengundi pula ditetapkan pada 7 Oktober.- SAHIH