AMANAH SOKONG ANWAR
Berita Nasional
AMANAH SOKONG ANWAR
KUALA LUMPUR: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengesahkan semua 11 Ahli Parlimen parti itu menyokong langkah Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru selepas mendakwa mendapat sokongan majoriti kukuh.
Mohamad berkata, kepimpinan AMANAH termasuk sebelas Ahli Parlimennya menyokong penuh niat Anwar yang juga Presiden PKR untuk membentuk kerajaan baharu.
“Kami mengambil maklum pengumuman dibuat Anwar, Pengerusi Pakatan Harapan dan Ahli Parlimen Port Dickson yang hari ini memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
“Seperti diputuskan Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini, Parti AMANAH mengesahkan bahawa semua 11 Ahli Parlimen Parti Amanah Negara menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau, dan memberi sepenuh kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar dalam sidang media hari ini mendakwa mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan. Sokongan itu terdiri daripada pelbagai parti, namun tidak mendedahkan jumlah sebenar Ahli Parlimen yang terbabit menyatakan sokongan terhadapnya.