AMALAN LAMA KEKAL DALAM PENDIDIKAN DI MALAYSIA?
AMALAN LAMA KEKAL DALAM PENDIDIKAN DI MALAYSIA?
Coretan Anuar Ahmad melalui Facebook
Saya seorang guru. Pernah mengajar di pedalaman dan sekolah Cina. Saya juga berpeluang mengajar untuk melengkapkan kursus pendidikan saya di beberapa sekolah luar negara.
Saya juga berpeluang mengadakan banyak libat urus, lawatan, panel jawatankuasa antarabangsa pendidikan dan menjalankan kajian bersama rakan-rakan tentang sistem keguruan di beberapa negara Eropah.
Apa yang saya tahu dan boleh rumuskan?
Pendidikan di Malaysia masih mempunyai sistem perkhidmatan keguruan yang lazim dan banyak amalan lama dikekalkan. Saya sendiri alami pengalaman tersebut dulu.
Kita pernah dengar kisah guru terjatuh kerana panjat bumbung sekolah, diarah cantas pokok dan hias taman sekolah, diminta cat bangunan untuk pertandingan, ditugaskan hias kantin, jadi pegawai aset, lakukan kerja pengkeranian dan kemaskini berbagai borang, sampailah kena jadi ‘jaga’ di pintu pagar sekolah masa murid masuk dan keluar sekolah.
Ada guru sampai anggap memang tugas mereka untuk kutip yuran sekolah/PIBG dan buat macam macam lagi urusan bukan pengajaran. Mereka terima. Tetapi ada guru yang tidak tahu itu sebenarnya bukan tugas hakiki mereka.
Mengapa guru-guru perlu lakukan semua itu?
Jawapannya mudah.
Kerana kepimpinan pendidikan pelbagai peringkat masih tidak menghormati dan mengutamakan tugas hakiki guru sebagai pengajar.
Jika kepimpinan pendidikan sendiri tidak mempunyai rasa hormat pada profesyen keguruan, mana mungkin ibubapa dan masyarakat akan menghormati kerjaya seorang guru.
Hal seperti ini tidak berlaku di negara maju. Malah guru-guru mereka diberikan peluang untuk meningkatkan profesional keguruan dengan berbagai biasiswa dan digalakkan hadir ke pelbagai program pendidikan untuk berdiskusi dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran amalan pengajaran. Waktu cuti guru tidak diganggu oleh pihak sekolah. Guru di negara mereka dilayan sebagai seorang yang profesional.
Guru di negara mereka lebih banyak berhubungan dan berkomunikasi dengan ibubapa. Sentiasa berbincang dengan ibubapa tentang kemajuan pendidikan anak-anak. Itu antara tugas guru yang mesti diutamakan.
Dan satu hal lagi, kesatuan guru negara mereka kuat dan sangat menjaga kebajikan para guru. Suara kesatuan guru mereka adalah suara yang dihormati oleh pihak kerajaan.
FB Anuar Ahmad
https://www.facebook.com/anuar.ahmad.54