Amal jariah Old Putera Maktab Tentera Diraja
Foto : Azman Rasman memimpin seorang warga emas menaiki van sumbangan OPRMC76 untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan kesihatan susulan.
Amal jariah Old Putera Maktab Tentera Diraja
Amal jariah yang membawa manfaat kepada penerima bukan sahaja mengangkat martabat penyumbang, malah pahalanya terus mengalir meskipun pelakunya telah meninggal dunia.
Nilai luhur itu amat dirasai Old Putera Maktab Tentera Diraja (OPRMC76) apabila van Toyota Hiace yang mereka sumbangkan kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, dimanfaatkan sepenuhnya bagi kegunaan warga emas di pusat tersebut.
Wakil OPRMC76, Jamaludin Takei, berkata inisiatif itu tercetus selepas mereka dimaklumkan mengenai keperluan mendesak PJMM untuk memiliki sebuah kenderaan bagi membawa warga emas mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.
Katanya, seorang individu tampil memberikan sumbangan dana besar, manakala selebihnya dikumpulkan oleh bekas pelajar melalui sumbangan pelbagai pihak sehingga berjaya membeli van baharu bernilai lebih RM80,000 kira-kira lapan tahun lalu.
Jelasnya, penyerahan van tersebut memberi kepuasan tersendiri kepada OPRMC76 kerana dapat merealisasikan hasrat melakukan amal jariah demi kelangsungan dan keperluan pengurusan PJMM.
Malah, beliau turut berbangga dengan komitmen PJMM menjaga van itu dengan baik, bukan sekadar digunakan untuk membawa warga emas mendapatkan rawatan susulan, tetapi turut menjadi kenderaan menggerakkan sukarelawan melaksanakan misi kebajikan di seluruh negara.
“Pahala amal jariah ini berganda apabila van berkenaan turut membawa sukarelawan NGO bersama PJMM ke kawasan komuniti yang memerlukan bantuan, terutama ketika berlakunya bencana,” katanya pada Majlis Penyampaian Penghargaan Penyumbang Van OPRMC76 di PJMM.
Majlis itu menyaksikan Jamaludin menyerahkan replika kunci van kepada Pengerusi PJMM, Azman Rasman, disaksikan Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha, Muhammad Syafiq Mohiadin; ahli OPRMC76 serta warga emas. Program berkenaan dimulakan dengan perarakan berselawat ke Surau Hamidah PJMM yang diketuai Ustaz Munhameer Yusuf bersama kumpulan Soutul Jannah.
Azman berkata, simbolik penyerahan van tersebut turut diadakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H selain meraikan pasangan pengantin baharu, Muhammad Syazli dan Amalina Diana, yang memilih Laman Firdausi PJMM sebagai lokasi istimewa persandingan mereka. Tetamu turut berpeluang melihat secara dekat van sumbangan OPRMC76 yang dipamerkan di kawasan parkir utama.
Menurutnya, van itu merupakan amanah besar buat PJMM dan pengurusan komited memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya demi kebajikan warga emas. “Majlis yang meriah ini juga menghiburkan warga emas apabila mereka berpeluang melihat pasangan pengantin bersanding, sekali gus mengimbau kenangan bersama anak atau cucu yang lama tidak ditemui,” katanya.-SAHIH.
