Alumni SMK Haji Abdul Rahman Limbong erat ukhuwah dalam Majlis Aidilfitri
Alumni SMK Haji Abdul Rahman Limbong erat ukhuwah dalam Majlis Aidilfitri
KUALA TERENGGANU – Penganjuran majlis Aidilfitri dalam kalangan alumni sekolah bukan sahaja mengimbau nostalgia, malah menjadi platform penting mengukuhkan hubungan sosial serta jaringan profesional.
Seramai kira-kira 200 alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbong, atau dahulu dikenali SMK Manir, bagi sesi 1985 hingga 1990, berkumpul buat pertama kali dalam Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri, Tautan Ukhuwah di dewan sekolah itu pada 23 Mac lalu.
Pengerusi majlis, Sabri Salleh, berkata program berkenaan berjaya menghimpunkan bekas pelajar daripada pelbagai latar belakang kerjaya termasuk kontraktor, kakitangan kerajaan, swasta, usahawan dan suri rumah yang sekian lama terpisah.
Menurutnya, pertemuan itu mengeratkan kembali hubungan selepas lebih 30 tahun, selain membuka ruang perkongsian pengalaman serta peluang kerjaya dan perniagaan.
“Walaupun ada antara kami hanya bersekolah seketika sebelum berpindah, hubungan yang terjalin tetap utuh dan dapat disambung semula melalui majlis ini,” katanya.
Beliau berkata, majlis seumpama itu turut menjadi asas kepada kerjasama masa depan selain memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan alumni.
Sementara itu, seorang alumni, Md Yasin Embong, melahirkan rasa syukur kerana dapat berkumpul dalam suasana Aidilfitri yang memberi peluang untuk saling bermaaf-maafan.
Katanya, walaupun masing-masing sibuk bersama keluarga, pertemuan itu tetap dimanfaatkan untuk mengimbau kenangan lama, malah ada yang sebak apabila dapat bersua kembali dengan rakan seperjuangan.-SAHIH.
