Alumni IPGIK, Cheras bertemu setelah 40 tahun berpisah
Alumni IPGIK, Cheras bertemu setelah 40 tahun berpisah
Foto atas: Sebahagian alumni yang dapat hadir di program itu
KLUANG – Seramai 21 orang Alumni Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, ambilan 1980 -1981 berkumpul setelah hampir 40 tahun ‘berpisah’ daripada kampus itu sejak membawa haluan masing-masing berkhidmat di serata pelusuk tanah air , pertemuan diadakan hari ini.
Penyelaras program itu, Sariat Mokmin, berkata, program ini sebagai pertemuan antara rakan IPG yang telah berpisah di serata tempat dan dapat dikumpulkan semula melalui media sosial.
“Medium ‘whatsapp’ menjadi penghubung utama dengan bermula dengan bilangan yang kecil dan mula menjadi ramai dengan pelbagai kenangan dicoretkan di laman ini.
“Oleh itu, kami di Johor merancang mengadakan pertemuan ini dengan menjemput rakan lama kami di serata tempat di tanah air, tetapi oleh kerana kekangan masa dan jarak, hanya 21 orang yang sempat hadir, “ katanya hari ini.
Katanya, kumpulan alumni 1980-1981 tidak terhenti di sini dan bakal diadakan di tempat lain dan diharapkan lebih ramai rakan-rakan lain dapat menyertainya.
Seorang alumni dari Shah Alam, Selangor yang turut hadir, Rozita Kamarul Ariffin berkata, dalam laman sosial itu pelbagai kenangan ‘keluar’ mengimbau kembali zaman tersebut yang menyebabkan mereka rasa ‘muda’ mengingatkan kisah lampau di kampus.
“Apa tidaknya, kenangan paling menyeronokan ketika kami menjadi ‘ freshies’ semasa minggu orientasi, minggu itu kami mengenali pelajar antara program melalui pelbagai aktiviti,selain mengenali pelajar senior.
“Sebenarnya minggu orientasi ini ada bagusnya kerana merapatkan siratulrahim antara penuntut dan juga membentuk sahsiah yang mantap dan tidak bersikap individualistik,” katanya.
Seorang alumni dari Kuala Kangsar Perak, Mohd Jaffar Abu Samah berkata, bagus juga berkumpul mengenangkan zaman di IPG, seronok selain terkenang rakan yang telah tiada.
“Oleh itu, selain berkumpul kami sempat mengadakan majlis bacaan yassin dan tahlil mengenangkan rakan yang telah meninggalkan kita, malah, hampir semua daripada kami telah bersara, ini adalah peluang kami berkumpul semula.
“Semua semakin menginjak usia, sementara masih sihat, kadang kala terkenang rakan-rakan, kesempatan begini dapat bertemu dan menziarah rakan,” katanya.-SAHIH.