ALIRAN PENUMPANG KLIA DIJANGKA MENINGKAT
ALIRAN PENUMPANG KLIA DIJANGKA MENINGKAT
KUALA LUMPUR: Dengan kelonggaran dalam perjalanan domestik, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangka peningkatan penumpang di rangkaian lapangan terbangnya pada musim cuti panjang ini.
“Hab utama kami, Lapangan Terbang Antarabangsa KL menjangka menerima lebih 99,000 penumpang domestik dan 19,000 penumpang antarabangsa untuk tempoh antara 24 – 31 Dis, 2020, meningkat empat kali ganda berbanding tempoh sama bulan lepas.
“Oleh itu, lapangan terbang di seluruh negara meningkatkan langkah berjaga-jaga untuk memastikan semua langkah keselamatan disediakan dilaksanakan dengan baik supaya penumpang selamat dan mendapat perjalanan memuaskan dalam normal baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dalam kenyataan seperti yang dipetik dari BERNAMA.
Mohd Shukrie berkata, lapangan terbang MAHB bersedia untuk menerima pergerakan penumpang yang meningkat dengan pematuhan yang ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.
“Barisan hadapan lapangan terbang kami akan berada di lapangan untuk membantu penumpang dan memastikan proses di setiap lokasi dijalankan dengan cekap untuk keselamatan mereka.
“Dalam kami berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua penumpang, kami ingin mengingatkan penumpang untuk mematuhi norma baharu perjalanan, iaitu memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta sering membersih dan mencuci tangan,” katanya.
Bagi memastikan perjalanan yang lancar pada musim cuti ini, MAHB mengeluarkan nasihat perjalanan kepada semua penumpang dalam tempoh yang sibuk.
Sehubungan itu, penumpang diingatkan untuk menyemak jadual penerbangan yang terkini dan kelayakan mereka untuk melakukan perjalanan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) terkini diumumkan kerajaan.
Penumpang juga perlu menyediakan dokumen tambahan atau ujian perubatan (ujian swab COVID-19) yang diperlukan sebelum tiba di lapangan terbang serta tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas penerbangan.