ALAT SENAMAN BERHAYUN SENDIRI
ALAT SENAMAN BERHAYUN SENDIRI
PORT DICKSON – Penduduk sebuah taman perumahan di Lukut di sini mendakwa video mengenai alat senaman bergerak sendiri yang tular baru-baru ini bukan perkara baharu, sebaliknya misteri seumpamanya dialami mereka sejak dua tahun lalu.
Seorang penduduk, Kamarul Hamizam Abd. Karim, 43, berkata, kejadian alat senaman bergerak sendiri yang berlaku di taman permainan berhampiran rumahnya dikatakan berlaku pada tengah malam.
Video berdurasi 19 saat itu tular di media sosial sejak minggu lalu yang memaparkan alat senaman tersebut bergerak sendiri.
Menurut Kamarul Hamizam, video itu dikatakan dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp penduduk taman itu sebelum tular di laman Facebook.
“Semalam (kelmarin), salah seorang penduduk merakam video semasa sedang melepak di taman permainan tersebut.
“Namun, pada malam berkenaan, alat senaman itu tidak bergerak seperti dalam video (tular) tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Dakwa Kamarul Hamizam, kejadian misteri itu bukan pertama kali berlaku di kawasan berkenaan kerana sebelum ini, terdapat penduduk yang mengadu pintu rumah mereka pernah diketuk.
“Kebanyakan penduduk yang mengalami gangguan misteri itu tidak mahu ambil pusing kerana bimbang akan menimbulkan rasa ketakutan dalam kalangan keluarga mereka dan orang lain.
“Saya sendiri pernah beberapa kali ternampak kelibat putih terbang pada waktu malam semasa mula-mula berpindah ke sini,” dakwanya.
Seorang lagi penduduk, Shahrul Akmal, 30, pula memberitahu, dia tidak menafikan berasa bimbang dengan kejadian misteri di kawasan tersebut.
“Kadang-kadang apabila mendengar penduduk bercerita mengenai pengalaman (gangguan) mereka, saya ambil pendekatan berdiam diri.
“Saya bimbang anak dan isteri ketakutan sekiranya saya tiada di rumah,” katanya kepada K!ONLINE
Video: Media sosial