Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang bakal dirindui
Foto : Abdul Rahman merafak sembah kepada Al Sultan Abdullah sebelum berangkat pulang ke Pahang.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Aizah yang bakal dirindui
LIPIS : Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata dengan keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in serta Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar bakal dirindui oleh rakyat jelata.
Kata beliau, sepanjang lima tahun bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan sebagai Ketua Negara, maka pada tanggal 30 Januari 2024, Tuanku bakal berangkat kembali semula ke bumi Pahang, sekali gus menyempurnakan tempoh pemerintahan yang penuh berdaulat.
“Al-Sultan Abdullah telah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada tanggal 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung pada 24 Januari tahun yang sama.
“Menjengah kembali sepanjang pemerintahan Tuanku, pasti rakyat jelata bersetuju bahawa negara berada pada posisi penuh cabaran terutama dari segi urusan pandemik dan suhu politik tanah air,” katanya.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri di Kementerian Sumber Manusia berkata Tuanku telah memainkan peranan baginda dengan sangat cemerlang dalam memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.
“Tuanku juga membuktikan bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong bukanlah bersifat istiadat (ceremonial) dan pengesahan semata-mata (rubber stamp) sahaja.
“Di tahun (2019), Tuanku berhadapan dengan cabaran penolakan politik yang pertama. Di tahun kedua (2020), Tuanku menerima cabaran getir melalui pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia, yang memaksa sebuah Proklamasi Darurat 2021 diisytiharkan pada 11 Januari 2021,” katanya.
Katanya, untuk tahun-tahun berikutnya, keadaan politik negara begitu mencabar sehingga memaksa berlaku peralihan kepimpinan negara berulang kali sehinggalah tarikh pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat melalui PRU15.
“Walaupun pelbagai situasi mencabar mewarnai negara kita, namun Tuanku dengan tenang berjaya mengawal situasi dan menyeimbangkan suhu politik negara.
“Sudah semestinya pemergian Tuanku dari tampuk pemerintahan Persekutuan akan memahat 1001 memori manis yang bakal diabadikan sehingga ke akhir hayat jutaan rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, selaku Anggota Pentadbiran Kerajaan, beliau ingin merafak sembah segunung ucapan menjunjung kasih buat Tuanku atas pemerintahan cemerlang selama lima tahun ini.
“Sesungguhnya kita pasti merindui sosok Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri yang mahir dalam memimpin, disenangi dan disayangi oleh semua rakyat jelata.
“Selamat berangkat pulang ke Pahang, Tuanku, “Ampun Tuanku! , Daulat Tuanku!,” katanya. -SAHIH.
Kredit : Datuk Seri abdul Rahman Mohamad