Al-Quran Digital Mudahkan Imam Solat Tarawih
Al-Quran Digital Mudahkan Imam Solat Tarawih
KANGAR : Cetusan idea penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sistem Al-Quran Digital Kawalan Tanpa Wayar memudahkan imam membaca ayat lebih panjang dalam solat sunat atau solat tarawih.
Sistem yang dibangunkan Profesor Ir. Dr Anuar Mat Safar yang juga pengerusi Masjid Al-Arifin Padang Katong itu menjadikan kariah berkenaan yang pertama kali menggunakannya bagi solat tarawih pada Ramadan kali ini.
Menurut Dekan FTKEN, Profesor Madya Dr Azremi Abdullah Al-Hadi, projek itu adalah hasil kerjasama masjid itu, FTKEN, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).
Tambahnya, dengan adanya sistem berkenaan Imam 1 masjid itu, Ustaz Muhammad Khidhir Abdul Ghani boleh membaca ayat yang lebih panjang dalam solat sunat dan boleh menggerakkan muka surat seterusnya dalam solat tanpa memerlukan pergerakan besar.
Menerusi sistem ini, imam akan membaca surah dalam Al-Quran melalui Quran digital yang dipancarkan di skrin dan boleh dikawal pergerakan mukasurat menggunakan alat yang dipakai di pergelangan tangan. – SAHIH