AKTIVITI BERBASIKAL DI LEBUH RAYA, JALAN SIBUK DILARANG
Berita Jenayah
AKTIVITI BERBASIKAL DI LEBUH RAYA, JALAN SIBUK DILARANG
KUALA LUMPUR: Larangan aktiviti berbasikal di lebuh raya serta jalan sibuk bertujuan mengelakkan penunggang terdedah kepada risiko keselamatan diri serta pengguna lain.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata penunggang basikal, termasuk untuk tujuan riadah perlu menggunakan laluan yang lebih sesuai dengan keperluan mereka.
“Kumpulan ini perlu mengelakkan lebuh raya dan jalan yang sibuk kerana ia tidak sesuai untuk beriadah dan ia juga satu kesalahan kerana ada larangan diletakkan di setiap lebuh raya atau jalan raya tertentu.
“Selain itu, tahap kesihatan mereka juga boleh terjejas dengan asap kenderaan, terutama di laluan yang mempunyai jumlah kenderaan tinggi dan sibuk,” katanya.
Beliau berkata, kesalahan itu ada dinyatakan dengan jelas dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengabaikan tanda kenderaan yang tidak dibenarkan di lebuh raya.
“Di semua plaza tol ada papan tanda memaklumkan larangan berkenaan. Dari segi penguatkuasaan, ada peruntukan undang-undang khusus mengenai perkara itu iaitu Seksyen 79(2) akta sama kerana mengabaikan isyarat lalu lintas,” katanya.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman Facebook rasminya, menjelaskan bahawa individu yang menunggang basikal di laluan yang tidak dibenarkan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
tamat