Akta Kesatuan Sekerja sudah ‘lapuk’, bekas presiden NUTP gesa kerajaan pinda segera
Akta Kesatuan Sekerja sudah ‘lapuk’, bekas presiden NUTP gesa kerajaan pinda segera
Foto atas: Kamarozaman Abd Razak, seorang bekas presiden NUTP menyifatkan Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang tidak membenarkan mereka yang menduduki gred atas DG48 memegang jawatan, sudah lapuk.
PETALING JAYA – Bekas pemimpin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyarankan kerajaan meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang tidak membenarkan mereka yang menduduki gred atas DG48 memegang jawatan.
Kamarozaman Abd Razak, yang pernah menjadi presiden kesatuan, menyifatkan akta yang masih diguna pakai itu sudah lapuk.
“Isu (DG48 ke atas tidak dibenarkan memegang jawatan) adalah isu lapuk yang tidak ditangani kerajaan sejak 1959. Sedangkan akta lapuk lain sudah dipinda, tetapi tidak Akta Kesatuan Sekerja 1959 ini,” katanya kepada FMT.
“Pada pendapat saya, kerajaan perlu pinda segera akta ini, dan selagi ia tidak dilakukan, kerajaan mesti benarkan mereka yang menduduki gred DG48 ke atas pegang jawatan, kecuali bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).
“Ini kerana guru-guru khasnya dinaikkan pangkat dengan cepat, berbeza dengan penjawat awam yang lain.”
Beliau turut berkongsi pengalamannya menangani isu sama ketika penggalnya menjadi presiden NUTP.
“Isu ini jadi panas kerana saya menduduki gred DG48 dan bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.
“Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) bertegas minta saya lepaskan jawatan presiden, tetapi saya dan pasukan NUTP berusaha atasi isu ini, termasuk berjumpa Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan JPA.
“JHEKS akhirnya keluarkan surat benarkan saya dan rakan kesatuan lain pegang jawatan sehingga pemilihan baru kesatuan pada 2020.”
Beliau turut mencadangkan supaya isu ini dibawa ke mahkamah perusahaan kerana perlembagaan NUTP tidak menyatakan dengan khusus gred bagi pemegang jawatan dalam kesatuan.
“KSN berkuasa membenarkan mereka yang bergred DG48 hingga 54 untuk pegang jawatan dalam kesatuan dengan mengeluarkan surat secara individu berikutan permohonan oleh kesatuan.
“Ahli Parlimen juga perlu mendesak kerajaan untuk pinda akta lapuk ini dengan segera demi menjaga kebajikan pekerja mengikut aturan Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.
Terdahulu, dilaporkan seorang sumber mendakwa, kebanyakan pemegang jawatan NUTP di peringkat kebangsaan menduduki gred atas DG48.
Mengikut Akta Kesatuan Sekerja dan pekeliling yang dikeluarkan oleh KSN dan JHEKS, pemegang jawatan yang turut memegang jawatan pentadbiran mesti melepaskan jawatan mereka.
SUMBER: FMT