AIR SUNGAI BELAT DAN SUNGAI LEMBING SEMAKIN NAIK
PENDUDUK DIMINTA BERSIAP SEDIA DAN PATUHI ARAHAN PIHAK BERKUASA
KUANTAN: Penduduk yang tinggal di kawasan Sungai Belat dan Sungai Lembing di sini perlu berada dalam keadaaan siap siaga ekoran paras air di kedua-dua sungai tersebut semakin naik sejak pagi tadi.
Lazimnya setiap tahun, kedua-dua sungai tersebut merupakan sungai utama yang diberikan perhatian dalam daerah ini ketika musim tengkujuh, kerana ia berisiko berlaku banjir.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, Sungai Belat telah melepasi paras berwaspada namun terkawal, manakala Sungai Lembing telah melepasi paras normal.
Katanya, Jabatan Bomba dan Keselamatan (JBPM) Pahang sentiasa memantau paras air sungai setiap 4 jam dan melaporkannya kepada Pegawai Daerah Kuantan, selaku Pengerusi Bencana daerah sebelum membuat tindakan seterusnya untuk membantu penduduk yang terjejas.
“Seperti pagi tadi di Sungai Lembing, siren amaran pertama telah berbunyi di Sungai Lembing kerana paras sungai itu telah melepas paras normal tetapi masih dalam keadaan terkawal.
“Saya menasihatkan penduduk yang berisiko terkena banjir agar mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke tempat selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi anakanda-anakanda Yang di-Pertuan Agong ; Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah di Dewan Orang Ramai Sungai Ular, Kuantan.
Seramai 25 orang terdiri daripada lima keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir Kilat itu sejak kelmarin.