Air semakin naik di Kampung Bantal, penduduk siap siaga
Foto : Dataran Kampung Bantal pada jam 1.38 petang, hari ini.
Air semakin naik di Kampung Bantal, penduduk siap siaga
JERANTUT – Penduduk di kawasan pesisir Sungai Tembeling mula bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua susulan hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu di kawasan hulu sungai.
Menurut penduduk setempat, paras air Sungai Tembeling meningkat secara mendadak akibat hujan lebat di kawasan ulu sungai yang mengalir dari sempadan Terengganu hingga ke Jeram Perahu.

Dataran Kampung Bantal pada jam 8.54 pagi, hari ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Jerantut memaklumkan paras air sungai terus menunjukkan trend menaik dan telah mencecah paras bahaya dengan bacaan 106 meter.
Tinjauan pada jam 8 pagi hari ini mendapati bacaan paras air di stesen penyukat banjir JPS Kampung Bantal mencatatkan 105.30 meter, iaitu pada paras normal namun telah mula memasuki kawasan dataran perniagaan kampung berkenaan.
Bagaimanapun, pada jam 1.37 tengah hari, keadaan berubah apabila air mula mencecah bumbung pondok di kawasan Dataran Kampung Bantal.
Seorang penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 46, berkata hujan lebat tanpa henti di kawasan ulu Sungai Sepia dan Sungai Tembeling sejak kelmarin menyebabkan paras air meningkat dengan arus yang sangat deras.
“Kebiasaannya pertembungan dua arus sungai berhampiran kampung ini menyebabkan paras air naik dengan cepat sehingga melimpah ke dataran perniagaan, seperti kejadian pada 28 November lalu.
“Ketika ini, hujan masih turun dan kami berharap keadaan ini tidak berlarutan supaya penduduk dapat keluar bekerja di kebun dan peniaga dapat meneruskan perniagaan tanpa gangguan banjir,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Hafizan Johar, berusia lingkungan 50-an, berkata beliau membantu menggantikan tong pelampung lama yang rosak dengan tong baharu bagi memastikan rumah penduduk tidak hanyut apabila ditambat pada pokok besar semasa banjir.
“Langkah ini diambil kerana bimbang paras air sungai melimpah semula dan mencapai paras lebih tinggi memandangkan hujan masih berterusan,” katanya.
Menurutnya, situasi berkenaan sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk Ulu Tembeling yang tinggal di pesisir sungai setiap kali penghujung tahun ketika musim tengkujuh, dengan langkah berjaga-jaga diambil bagi memastikan keselamatan keluarga dan harta benda.
Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Mat Daling memaklumkan sebuah jambatan kecil yang merentasi Sungai Semena mula ditenggelami air sejak awal pagi, sekali gus memutuskan beberapa laluan perhubungan ke perkampungan berkenaan.
Bacaan dua stesen pada paras waspada di Stesen Sungai Tembeling di Kuala Tahan berada pada paras 64.33 meter mengatasi paras waspada pada 60.00 meter dan Sungai Tembeling di Kampung Merting pada bacaan 56.84 mengatasi paras waspada 52.00 meter.-SAHIH.
