Ahmad Nazlan serah pada pucuk pimpinan hadapi PRU-15
JERANTUT – Penyandang Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris menyerahkan kepada pihak kepimpinan tertinggi negeri Pahang dan pusat untuk menentukan sama ada beliau layak untuk dicalonkan semula bertanding di Parlimen Jerantut (P081) pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Katanya, ramai calon muda dan berkelibar Barisan Nasional (BN) bersedia untuk dicalonkan bertanding di kerusi parlimen untuk meneruskan perkhidmatannya memajukan daerah ini.
“Saya serah kepada kepimpinan atasan parti, kerana pada waktu yang sama melihat ramai calon muda dan berpotensi untuk menerajui parlimen di sini daripada BN, tapi diharap calon baharu yang terpilih dan menang PRU nanti perlu memberi perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang.
“Calon yang dipilih adalah amanah pengundi yang perlu dijaga dan bertanggungjawab dengan kebajikan mereka,’ katanya di Program Kasih Suri Keluarga Malaysia (i-Suri) di Dewan Serbagunba PAKR Bandar Baru Jerantut, dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Jerantut, hari ini.
Ahmad Nazlan berkata, sewajarnya calon baharu adalah anak tempatan yang berkelayakan dan tahu keperluan dan kemahuan penduduk di daerah ini.
“Kalau calon luar yang tidak tinggal di Jerantut amat sukar menyelami denyut nadi pengundi dan keperluan mereka.
“Kalau sekali sekala pulang menjenguk ‘kampung’ akan menjadi masalah kepada pengundi untuk meluahkan masalah yang ada dan yang perlu ditangani segera.
Beliau yang memenangi kerusi parlimen pada PRU13 dengan mengalahkan calon Pas, Dr Hamzah Jaafar dengan undi sebanyak 26,544, manakala lawannya cuma mendapat 22,012 undi membolehkan BN memperoleh majoriti 4,532.
Beliau sekali lagi memenangi kerusi Parlimen dalam PRU14 dengan memperoleh 22,640 undi setelah mengalahkan calon Pas, Yohanis Ahmad (16,732 undi) dan calon PKR, Wan Mohd Shaharir Wan Adul Jalil (10,877 undi) dengan majoriti 5,908 undi.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berterima kasih dengan penghargaan Ketua Umno bahagian Jerantut yang masih memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepadanya bertanding semula buat penggal ketiga.
“Sokongan dan penghargaan oleh Ketua Umno Bahagian Jerantut untuk saya bertanding, saya berterima kasih, tak apalah tunggulah….kalau dicalonkan saya, Insya Allah saya pikul tanggunjawab dan amanah itu,” katanya.-SAHIH.