AHMAD JAZLAN TARIK BALIK SOKONGAN TERHADAP PN
AHMAD JAZLAN TARIK BALIK SOKONGAN TERHADAP PN
KOTA BHARU: Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub menjelaskan pengumumannya untuk menarik balik sokongan ke atas kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah sebagai wake up call atau kejutan.
Katanya, ini bagi menyedarkan pihak-pihak tertentu untuk tidak menganiaya atau membuli UMNO.
“Apa kita buat semata-mata untuk beri wake up call bahawasanya utamakan rakyat. Jangan aniaya UMNO, jangan buli UMNO.
“Apa bentuk buli saya tidak mahu buat ulasan lebih,” katanya pada sidang media yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Jazlan ada menyenaraikan beberapa faktor yang menjadi punca dia mengambil keputusan berkenaan, lapor MALAYSIAKINI.
Antaranya mengenai dakwaan BERSATU mencuri ahli-ahli UMNO.
“Sepatutnya tak berlaku agenda curi ahli (dan gunakan) pelbagai cara untuk tubuh cawangan BERSATU.
“Perkara ini amat kita pandang serius dan sepatutnya dalam gabungan, ini tidak harus berlaku kerana pasaran masih luas.
“Rakyat ramai lagi tiada parti, kenapa hendak ambil ahli UMNO kalau tidak dengan tujuan untuk lemahkan UMNO,” katanya lagi.
Pengumuman Ahmad Jazlan hari ini meletakkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin kini hanya memperoleh sokongan 110 daripada 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat.
Untuk rekod secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi, namun dua daripadanya kosong disebabkan kematian penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Grik).
“Apa kita buat semata-mata untuk beri wake up call bahawasanya utamakan rakyat. Jangan aniaya UMNO, jangan buli UMNO, ” kata Ahmad Jazlan Yaakub
Sebelum ini seorang lagi ahli parlimen dari Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, menyatakan pendirian tidak menyokong kerajaan Muhyiddin namun belum menzahirkan tentangan terhadap kerajaan melalui mana-mana undian di Dewan Rakyat.
Perselisihan UMNO dan BERSATU dikeruhkan lagi selepas Ketua Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa BERSATU kini galak mencuri dan membeli ahli UMNO.
GAMBAR HIASAN
Dalam sidang medianya hari ini, Ahmad Jazlan juga mendakwa kerajaan PN gagal mengawal penularan wabak Covid-19 dan mengatasi masalah ekonomi termasuk kadar pengangguran yang semakin meningkat.
“Kalau kita lihat banyak negara lain, negara jiran dapat kawal penularan tapi berlainan di negara kita yang seolah hilang kawalan dan fokus,” katanya.
Tambahnya, isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium juga tidak dilakukan sepertimana disarankan UMNO.
Selain itu dia juga membangkitkan kes kematian anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib yang didakwanya tidak dipedulikan kerajaan hari ini.
“Kes Adib pula kerajaan hari ini seolah-olah tidak ambil peduli.
“Oleh itu kita berpendapat kerajaan hari ini masih dipengaruhi kerajaan terdahulu kerana kes ini seolah-olah tiada penyelesaian,” tambahnya.