Ahli UMNO jangan ambil mudah, detik hitam 22 bulan sudah termaktub
Ahli UMNO jangan ambil mudah, detik hitam 22 bulan sudah termaktub
LIPIS – Ahli UMNO diingatkan senario politik hari ini sudah jauh berbeza jika dibandingkan dengan politik era terdahulu kerana landskap politik negara masa ini sudah berubah dengan faktor rakyat semakin matang dan bijak serta boleh menilai dan menimbang sesuatu isu itu.
Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, UMNO tidak lagi boleh dilihat sebagai sebuah parti eksklusif dan parti itu seharusnya bergerak seiring mengikut arus politik semasa.
Katanya, UMNO pernah melalui 64 tahun zaman kegemilangan, bermulanya dari zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi Datuk Seri Najib Abd Razak, tetapi, langit tidak selalu cerah dan jangan disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
“Kita pernah melalui detik hitam selama 22 bulan kita jatuh, tragedi kekalahan PRU-14 cukup memberi kesan kepada kita semua, hampir 6 bulan saya termenung tanpa arah tuju, duduk di pejabat tanpa seorang pun datang.
“Parti keramat ini dikejutkan dengan tragedi yang amat dasyat, kekalahan yang amat teruk cukup memberi kesan yang sangat mendalam kepada kita semua,” katanya di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis, hari ini.
Rahman berkata, berkat kesabaran, kesetiaan, muafakat dan keikhlasan dalam perjuangan tiada siapa menyangka takdir Allah menentukan bahawa UMNO dapat kembali memegang tampok pemerintahan negara.
“Sejak UMNO berada semula di dalam kerajaan, hampir puluhan juta limpahan pembangunan telah disalurkan ke Parlimen Lipis, antara yang boleh disebutkan ialah Pembinaan Loji Air Mela bernilai puluhan juta, Projek Bekalan Air Luar Bandar Chegar Perah yang bernilai RM20 juta.
“Ini tidak termasuk peruntukan untuk pendidikan dan keusahawanan dan bantuan persediaan kemasukan (Bantuan 10 Bakti Desa) yang bernilai RM1,000 setiap seorang,” katanya.
Katanya, Kementerian Komunikasi MultiMedia Malaysia (KKMM), telah mengumumkan pembinaan Menara Telekomunikasi yang berharga RM75 juta serta membina selain merancang membina Bandar Pertahanan dan membina sebuah Kompleks Rakan Muda yang bernilai RM10 juta.
“Selaku Ketua Bahagian, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penaziran di setiap cawangan baru-baru ini yang membuktikan kita sentiasa cakna dan tidak mudak berada di zon selesa.
“Kemenangan di Melaka membuktikan bahawa rakyat sudah mula menyambut baik Barisan Nasional, kemenangan tersebut sebagai pengukur penerimaan rakyat dan perlu berusaha lebih kuat menghadapi PRU akan datang.
“Dengan itu kita perlu menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri sehingga selesai penggal atau sehingga PRU-15, malahan bersetuju jika dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri selepas itu nanti,” katanya.-SAHIH.