Ahli perniagaan ditipu ‘pegawai CIDB Pahang’
Ahli perniagaan ditipu ‘pegawai CIDB Pahang’
MARAN – Seorang ahli perniagaan dari Chenor, dekat Maran, menjadi mangsa penipuan suspek yang menyamar sebagai pegawai CIDB Pahang.
Muhammad Fazrol Md Nasir, 34, mendakwa dia menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek pada 30 April lalu, menawarkan projek berkaitan kursus untuk kontraktor.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai Intan Liana Sarkawi dan bertugas di Unit Bahagian Lesen Kontraktor Bermasalah, CIDB Pahang.
“Dia menawarkan saya untuk menjalankan kursus integriti dan bisnes dan meminta saya membayar sejumlah wang bagi mendapat projek itu.
“Saya mula memindahkan wang ke akaun e-dompet diberikan suspek bermula 30 April hingga 5 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM3,070,” katanya ketika ditemui di Maran, semalam.
Muhammad Fazrol berkata, dia menyedari sudah menjadi mangsa penipuan selepas usaha menghubungi suspek bagi berbincang berkaitan penganjuran kursus dijanjikan tidak berhasil.
Dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Awah, dekat Maran pada 7 Mei lalu.
Sementara itu, siasatan awal polis mendapati suspek adalah seorang wanita berasal dari Sarawak dan dipercayai menetap di sekitar Pahang.
Suspek juga menggunakan satu nama syarikat dipercayai bagi menjalankan aktiviti penipuan seperti itu. – SAHIH