Ahli Parlimen Raub jangan lebih sudu dari kuah- UMNO Raub
Ahli Parlimen Raub jangan lebih sudu dari kuah
– UMNO Raub
RAUB: Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dibidas kerana bersikap lebih sudu dari kuah
ekoran gesaannya agar Ketua Pemuda UMNO membuat permohonan maaf terhadap Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Gesaan itu susulan isu cadangan Kor Ming yang mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Ketua Penerangan Umno Bahagian Raub, Datuk Abdullah Abu Bakar menegaskan, ahli Parlimen Raub itu harus berhati-hati memberi komen terhadap UMNO termasuk kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin.
Menurutnya, Chow Yu Hui cuba menjadi jaguh menahan lukah di pergentingan
dengan memainkan sentimen itu dengan harapan lebih populis di kalangan Masyarakat Cina.
Teguran beliau di media terhadap Ketua Pemuda UMNO sangat tidak wajar dan seolah-olah seperti berada di luar Kerajaan Perpaduan, katanya kepada SAHIH hari ini.
“ Lebih elok beri tumpukan kepada pembangunan dalam Parlimen Raub berkaitan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum termasuk kaum Melayu, India dan Orang Asli.
Tambah beliau, gesaan Chow Yu Hui supaya Majlis Tertinggi UMNO bertindak terhadap Akmal Saleh satu cubaan untuk mencampuri urusan UMNO.
Tegas Abdullah, sikap beliau yang sering tidak sehaluan dengan suara UMNO akan menyebabkan keretakan yang akan membawa perpecahan dalam kerajaan hari ini.
Abdullah yang juga Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia ( AMBFM) menyokong Muhammad Akmal yang tidak melayan gesaan Chow Yu Hui agar membuat permohonan maaf terhadap Nga Kor Ming.
Beliau memuji Ketua Pemuda UMNO itu yang tegas untuk mempertahankan tiga perkara sensitive khususnya yang berkaitan aspek agama Islam, bangsa Melayu/Bumiputera dan institusi diraja ( 3R).-SAHIH