AGONG UCAP TAHNIAH KEPADA DR SURESH, DR SHAIFUL AZMAN
KEJAYAAN PASUKAN COVID-19 HOSPITAL SUNGAI BULOH MEMBANGGAKAN NEGARA
KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr Suresh Kumar, Ketua Jabatan Anestesia & Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh, Dr Shaiful Azman Zakaria dan seluruh pasukan COVID-19 di Hospital Sungai Buloh atas pengiktirafan di Anugerah Kesihatan Global 2020 baru-baru ini.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pengiktirafan tersebut yang sekali gus turut mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Baginda amat menghargai dedikasi dan pengorbanan dicurahkan kedua-dua doktor tersebut dan pasukan COVID-19 di Hospital Sungai Buloh dalam usaha memerangi wabak berkenaan.
Al-Sultan Abdullah turut menyanjung tinggi kecemerlangan ditunjukkan mereka dalam usaha merawat pesakit COVID-19 dan membanteras wabak yang boleh meragut nyawa ini.
Hospital Sungai Buloh ditetapkan sebagai hospital utama COVID-19 Malaysia sejak pandemik itu melanda negara pada awal tahun ini.
Dr Suresh Kumar mempunyai pengalaman lebih 15 tahun sebagai perunding penyakit berjangkit di Hospital Sungai Buloh, manakala Dr Shaiful Azman mempunyai kepakaran dalam bidang anestesiologi dan rawatan rapi sejak 1996 dan pernah bekerja di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan.
Dr Sureh Kumar baru-baru ini berada di Sabah bagi membantu membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri itu.